Khamis, 10 Oktober 2019 | 5:27pm
Komitmen Sarawak dalam mempertingkatkan prestasi perdagangan jelas dinyatakan dalam pertemuan bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Mohamad Sadik di London.
Komitmen Sarawak dalam mempertingkatkan prestasi perdagangan jelas dinyatakan dalam pertemuan bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Mohamad Sadik di London.

Sarawak tumpu usaha bangunkan ekonomi pintar

KUCHING: Sarawak terus memperkasakan strategi pembangunan ekonomi pintarnya dengan memberi penumpuan kepada usaha mempertingkatkan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dari Eropah.

Selepas Jerman, United Kingdom (UK) antara negara yang diberikan penumpuan dalam usaha itu, seiring dengan kedudukan negara berkenaan sebagai antara rakan dagang strategik Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata usaha itu bukan hanya memberikan fokus kepada peningkatan pelaburan UK di Sarawak, bahkan juga prestasi eksport produk Sarawak ke negara berkenaan.

Katanya, inisiatif memperkukuhkan prestasi perdagangan luar Sarawak itu sebahagian daripada visi mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030 yang mampu memberi impak positif kepada rakyat.

“Komitmen Sarawak dalam mempertingkatkan prestasi perdagangannya itu jelas dinyatakan dalam pertemuan bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Mohamad Sadik Kethergany di London.

Awang Tengah menjelaskan dasar pembangunan dan pengurusan hutan di Sarawak kepada Mohamad Sadik dalam pertemuan mereka di London.
Awang Tengah menjelaskan dasar pembangunan dan pengurusan hutan di Sarawak kepada Mohamad Sadik dalam pertemuan mereka di London.

“Kita turut berkongsi perkembangan terkini mengenai insentif pelaburan disediakan kerajaan negeri, selain termasuk polisi pengurusan hutan dan tanah di Sarawak.

“Polisi pengurusan hutan dan tanah Sarawak merupakan antara yang terbaik di dunia untuk pembangunan yang bersepadu dan seimbang, namun telah disalah faham oleh barat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Sarawak turut diiringi Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia Di London, Megat Iskandar Ahmad Dassilah dan Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Malaysia (MATRADE) Sarawak, Leany Mokhtar

Hadir sama Menteri Muda MINTRED, Datuk Mohd Naroden Majais dan Setiausaha Tetap MINTRED Datuk Liaw Soon Eng.

Awang Tengah menyerahkan cenderahati kepada Mohamad Sadik selepas pertemuan mereka di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.
Awang Tengah menyerahkan cenderahati kepada Mohamad Sadik selepas pertemuan mereka di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

Sementara itu, Mohamad Sadik menyatakan komitmen pihak kedutaan untuk menyokong inisiatif dilaksanakan dalam memperkukuhkan prestasi pelaburan dan perdagangan antara UK - Sarawak.

“Kita juga akan membantu Sarawak menangani persepsi negatif dalam kalangan negara Eropah mengenai polisi pembangunan di negeri itu, terutama membabitkan pembangunan tanah dan pengurusan hutan.

“Malah, kita akan turut membantu mempromosikan Sarawak kepada UK dan negara Eropah lain sebagai destinasi pelancongan, khususnya dari segi budaya, pengembaraan dan alam semula jadi,” katanya.

Berita Harian X