Khamis, 10 Oktober 2019 | 12:25pm
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

17 individu ditahan kesalahan dadah, langgar syarat lesen bot

SANDAKAN: Seramai 17 indvidu ditahan berkaitan penyalahgunaan dadah dan lesen bot dalam operasi bersepadu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama beberapa agensi penguatkuasa berkaitan di perairan daerah ini.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 15 individu ditahan selepas didapati positif dadah, manakala dua lagi membabitkan kesalahan melanggar syarat lesen bot.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid, berkata operasi itu membabitkan sebuah kapal peronda dan tujuh bot Maritim Malaysia, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, operasi selama dua hari itu bermula Selasa lalu turut membabitkan 84 anggota penguatkuasa dari

Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Perikanan serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

“Sepanjang dua hari berlangsung, sebanyak 93 bot nelayan tempatan diperiksa, tiga bot penumpang, dua kumpit serta sebuah bot tunda.

“Keseluruhannya, 241 individu lelaki dan perempuan diperiksa, dengan 17 daripadanya yang berusia antara 15 hingga 45 tahun ditahan selepas terbabit dalam penyalahugunaan dadah serta melanggar syarat lesen bot dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, operasi berkenaan memberi penumpuan kepada usaha memerangi kegiatan jenayah di kawasan perairan daerah ini, khususnya membabitkan aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan dadah, selain memastikan pematuhan syarat lesen bot bagi aktiviti perikanan.

“Malah, operasi ini juga bertujuan meningkatkan persefahaman dan koordinasi antara agensi penguatkuasaan berkaitan,” katanya.

Berita Harian X