Khamis, 10 Oktober 2019 | 12:22pm
Empat buah rumah terdiri empat keluarga dan 29 penghuni musnah dalam kebakaran di Kampung Sarang, Kota Belud. - NSTP/Ihsan pembaca

Empat rumah terbakar, 29 penghuni terjejas

KOTA BELUD: Seramai 29 penghuni dari empat keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Sarang, Jalan Kota Belud - Kudat, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, empat rumah musnah sepenuhnya, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun, berkata sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.46 petang, dua jentera bomba bersama 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kudat, api didapati sedang marak memusnahkan empat rumah berkenaaan.

“Anggota bertugas kemudian bertindak melakukan operasi pemadaman sebelum api berjaya dikawal pada 6.20 petang, sekali gus mengelak kebakaran merebak ke rumah berhampiran.

“Ketika kejadian, memang ada penghuni di rumah berkenaan, namun kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum dibantu penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata, punca kejadian dan nilai kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Berita Harian X