Rabu, 9 Oktober 2019 | 11:28pm
PENOLONG Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohamad Amirul Peng Mohd Amin (tengah bersongkok) dan Pengurus Acara dan Tajaan, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Muhammad Fauzi Ahmad (kiri) melepaskan spesies patin dan pacu untuk pertandingan Ahad ini.

Lebih 123 hadiah wang tunai menanti peserta Jelajah Pancing Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Kaki pancing bertuah akan membawa pulang hadiah keseluruhan RM20,000 pada Jelajah Pancing Kuala Lumpur anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Tasik Metropolitan, Batu, Sentul, di sini, Ahad ini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun, berkata kegiatan sihat bertemakan ‘Jom Pancing, Rakyat Ceria, Komuniti Sejahtera' itu sentiasa dinantikan pemancing sambil beriadah bersama keluarga.

Katanya, pertandingan yang masuk tahun kelapan itu diadakan bagi memupuk perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

“Juara akan membawa pulang RM6,000, diikuti RM2,000 untuk naib juara dan ketiga, RM1,000.

“Menariknya kali ini, sebanyak 123 peringkat hadiah wang tunai disediakan untuk pemenang dan kaki pancing tidak seharusnya melepaskan peluang ini. Tambahan lagi, semua spesies ikan termasuk keli dipertandingkan kali ini.

"Pemenang keempat hingga ke-10 akan menerima RM200 dan pemenang tempat ke-11 hingga ke-80 menerima RM100 seorang. Begitu juga tempat ke-81 hingga ke-123 menerima RM50 seorang " katanya.

Terdahulu, beliau hadir pada acara melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di Taman Tasik Metropolitan, hari ini, antaranya patin bersaiz antara empat hingga lima kilogram (kg) seekor.

Yuran RM40 dikenakan untuk sebatang joran dan sebanyak 1,000 penyertaan awal layak menerima sebotol air saiz satu liter sumbangan penaja termasuk Oyoshi (Perasa Sakura), Igloo-UFL dan Pure Fishing Malaysia Sdn Bhd.

Maklumat lanjut, layari laman facebook, JORANKL atau hubungi urus setia di talian 013-266 7011 atau 012-284 6811.

Berita Harian X