Rabu, 9 Oktober 2019 | 4:54pm
AWANG Tengah (lima dari kanan) bergambar bersama Delegasi Pelaburan dan Perdagangan Sarawak di hadapan Ibu Pejabat X-FAB di Efurt, Jerman.

Sarawak sasar tingkat kemasukan pelabur asing

KUCHING: Sarawak mensasarkan peningkatan kemasukan pelaburan asing, khususnya membabitkan sektor teknologi dan kejuruteraan, sekali gus membantu melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata sasaran itu juga diyakini mampu mendokong matlamat menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Beliay menjelaskan antara segmen yang diberikan penumpuan ialah pembangunan kluster semikonduktor yang berupaya mempercepatkan proses perindustrian pintar di negeri ini ke arah Revolusi Industri 4.0.

“Silicon Valley di Amerika Syarikat adalah contoh yang paling jelas. Di Eropah pula, ada empat kelompok utama di Leuven (Belgium), Dresden (Jerman), Eindhoven (Belanda) dan Grenoble (Perancis.).

“Di empat kawasan itu, sekurang-kurangnya 800 syarikat teknologi beroperasi dan menggajikan 150,000 pekerja mahir, dengan produk dan perkhidmatan disediakan menampung keperluan bidang sains, teknologi dan kejuruteraan di peringkat global.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MINTRED) ketika ini mengetuai Delegasi Pelaburan dan Perdagangan Sarawak ke Jerman dan United Kingdom.


AWANG Tengah dibawa meninjau kemudahan disediakan di Ibu Pejabat X-FAB di Efurt, Jerman.

Beliau yang diiringi Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Naroden Majais dan Pengarah Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Sarawak, Leany Mokhtar turut melawat X-FAB Silicon Foundries SE di Erfurt, Jerman.

X-FAB Silicon Foundries juga antara pelabur asing terbesar di Sarawak, dengan loji pengeluaranya terletak di

Silicon Drive, Zon Perindustrian bebas Sama Jaya, di sini, dengan kegunaan produknya untuk sektor automotif, perubatan dan perindustrian.

Awang Tengah berkata, kehadiran X-FAB Silicon Foundries turut membantu pembangunan sosio-ekonomi setempat, termasuk menyediakan pekerjaan kepada 1,200 anak tempatan, selain peluang membangunkan sumber tenaga kerja mahir melalui perkongsian teknologi dan kemahiran.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah X-FAB, Hans Jurgen Straub menyatakan kesediaan firma itu untuk terus menyokong aspirasi kerajaan negeri membangunkan Dasar Ekonomi Digital berteraskan teknologi dan kejuruteraan.

“Sarawak memiliki ekosistem perniagaan yang mampan, selain mesra komuniti pelaburan. Di Jerman sendiri, ramai pelajar Sarawak menyambung pengajian di sini dan X-FAB sedia menerima mereka sebagai pelatih dan pekerja,” katanya.


AWANG Tengah menerima cenderamata sempena lawatannya ke Ibu Pejabat X-FAB di Efurt, Jerman.

Berita Harian X