Rabu, 9 Oktober 2019 | 4:06pm
TIMBALAN Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah ketika ditemui selepas mesyuarat EXCO di Kota Bharu, hari ini. - Foto Zaman Huri Isa

Harap projek tambatan banjir Sungai Golok dalam Belanjawan 2020

KOTA BHARU: Kerajaan negeri berharap Kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek tebatan banjir di tebing Sungai Golok seperti dilakukan Thailand, bagi mengelak bencana banjir lebih teruk di Rantau Panjang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata projek tebatan di Sungai Golok itu antara harapan kerajaan negeri untuk ditunaikan pada pembentangan Belanjawan 2020, Jumaat ini.

Katanya, perkara itu juga antara diminta kerajaan negeri dalam beberapa pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebelum ini.

Jelasnya, kerajaan negeri bimbang jika keputusan membina tebatan banjir di tebing Sungai Golok lewat dilakukan, kesan lebih teruk akan berlaku memandangkan tembok di sebelah Thailand sudah siap dibina.

“Sebelum ini, limpahan air dari Sungai Golok setiap kali hujan lebat terutama musim tengkujuh terbahagi di kedua-dua belah sempadan.

“Namun apabila tembok tinggi sudah siap dibina di sebelah tebing Thailand, air berkenaan akan banyak melimpahi ke kawasan rendah iaitu Rantau Panjang.

“Jadi, kita bimbang keadaan banjir yang sering melanda Rantau Panjang akan menjadi lebih teruk berbanding sebelum ini kerana semua aliran air menghala ke pekan terbabit.

“Perkara ini sebenarnya sudah dibincangkan antara kedua-dua negara dalam mesyuarat berkaitan sempadan sebelum ini, namun pihak kerajaan Thailand melakukannya terlebih dahulu pembinaan tembok, menyebabkan kita ketinggalan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat EXCO di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata, lima lagi projek seperti dijanjikan sebelum ini diharap turut dimasukkan dalam belanjawan itu nanti.

Antaranya, projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra serta empat projek baharu iaitu pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3),

laluan baharu Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu.

Berita Harian X