Selasa, 8 Oktober 2019 | 8:21pm
Ahmad Samsuri (dua dari kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman (kiri) mendengar penerangan daripada Pengasas Ir Tronik Enterprise, Wan Muhammad Irsyaduddin Wan Zohal (dua dari kanan) pada Karnival Inovasi ICT Terengganu (KIICT), di Terengganu Digital Hub (TD1303). - NSTP/Ghazali Kori

Kerajaan negeri perkenalkan Terengganu Pay tahun depan

KUALA TERENGGANU: Terengganu terus mengorak langkah dalam pembangunan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) apabila bakal memperkenalkan Terengganu Pay, tahun depan.

Terengganu Pay adalah inisiatif kerajaan negeri menerusi Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM) negeri, dalam penyediaan gerbang pembayaran bil kerajaan negeri melalui pendigitalan sistem.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata Terengganu Pay adalah satu usaha dan inisiatif kerajaan bagi memudahkan rakyat membuat pembayaran bil kerajaan melalui satu transaksi sahaja.

“Dengan mengambil kira slogan Terengganu Maju Berkat Sejahtera, beberapa pendekatan baharu dirancang bagi memajukan negeri ini dengan penghasilan inovasi yang dapat mengurangkan beban rakyat.

“Terengganu Pay ini selaras dengan konsep pembangunan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 untuk memaksimumkan perkhidmatan sistem penyampaian yang responsif dan pantas melalui kerajaan digital bagi memenuhi kehendak rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Karnival Inovasi ICT (KIICT) Terengganu 2019 di TD1303 di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri (duduk dua dari kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman (duduk tiga dari kiri) melihat pesawat kawalan jauh yang dipamerkan pada Karnival Inovasi ICT Terengganu (KIICT), di Terengganu Digital Hub (TD1303). - NSTP/Ghazali Kori

Turut hadir Setiausaha BPTM negeri, Afnida Aini Alwi.

Ahmad Samsuri turut memuji penganjuran KIICT oleh BPTM selama tiga hari bermula Ahad lalu yang dianggap satu inisiatif baik dalam usaha memberi pendedahan kepada masyarakat Terengganu berkenaan kemajuan ICT di setiap sektor melalui inovasi.

Beliau berkata, jabatan kerajaan diminta memperbanyakkan penciptaan inovasi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan sedia ada kepada rakyat.

“Ketua jabatan perlu memainkan peranan dalam menggalakkan penjawat awam menyumbang idea bagi penciptaan inovasi ICT baharu dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan.

“Penghasilan inovasi ICT yang cekap dan berkesan memerlukan sumber data yang baik dan tepat. Kekurangan maklumat yang tepat akan memberi kesan yang besar dalam usaha kerajaan mengatur pengurusan pentadbiran harian.

“Data yang diperoleh ini diolah bagi menghasilkan program bersifat bijaksana dalam memudahkan pengurusan pentadbiran seperti pengurusan agihan bantuan, pencegahan bencana, carian lokasi latihan dan bilangan fasiliti disediakan.

“Malah, kerajaan negeri sudah menjalankan beberapa perubahan dalam usaha menambah baik proses pengurusan agihan bantuan kepada rakyat supaya lebih telus,” katanya.

Berita Harian X