Selasa, 8 Oktober 2019 | 4:12pm
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman (dua dari kiri) diiringi Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Selangor, Ir Ibrahim Md Dol (kiri) menyampaikan sijil Occupational Safety and Health (OSH) Coordinator kepada peserta pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Sijil OSH Coordinator di Holiday Inn Kuala Lumpur Glenmarie, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Hanya 120 kilang IKS sertai Koordinator OSH sejak 2017

SHAH ALAM: Hanya 120 kilang industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini menyertai program Koordinator Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) anjuran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Selangor (JKKP) sejak 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman, berkata jumlah itu amat kecil jika dibandingkan dengan bilangan IKS di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan jumlah IKS yang beroperasi atau jenis industri berkenaan di Selangor, ketika ini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri meminta pengusaha IKS di negeri ini memberi kerjasama bagi memastikan keselamatan di tempat kerja terjamin.

“Kita tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja, tambahan pula Selangor ada ramai pekerja asing.

“Justeru, kita menasihati lebih ramai pengusaha IKS untuk menyertai program ini agar persekitaran pekerjaan lebih selamat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan dan Penyampaian Sijil Koordinator OSH, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JKKP Selangor, Ibrahim Md Dol.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mendekati pengusaha IKS supaya menyertai program itu, dan melaporkan kepada pihaknya jika ada yang tidak mahu memberikan kerjasama.

Beliau berkata, program bimbingan berkenaan sudah melahirkan 357 koordinator OSH sejak 2017, secara tidak langsung berjaya membantu menurunkan kadar kemalangan dan kematian di tempat kerja.

“Pematuhan kepada perundangan yang membabitkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah wajib bagi semua majikan dan pekerja, termasuk dalam sektor IKS,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata, sebanyak 1,284 kes kemalangan pekerjaan direkodkan di Selangor, tahun ini hingga 30 September lalu.

“Sebanyak 25 kes adalah kemalangan maut, hilang upaya kekal (47), tidak hilang upaya kekal (1,172) dan kejadian berbahaya (40).

“Kita harus mengambil iktibar daripada kes kemalangan yang berlaku supaya ia tidak berulang,” katanya.

Berita Harian X