Khamis, 3 Oktober 2019 | 12:08pm
Ketua Menteri, Adly Zahari pada sidang media mesyuarat EXCO di bilik Tun Bija Sura, Seri Negeri, Ayer Keroh. - NSTP/Rasul Azli Samad

Projek Melaka Smart River angkat imej Sungai Melaka

AYER KEROH: Kerajaan negeri meluluskan cadangan Majlis Penasihat Bandaraya Pintar (SCAC) untuk membangunkan tiga projek menggunakan teknologi pintar bagi pembangunan baharu di perairan Sungai Melaka.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata tiga projek bernilai RM450,000 itu ialah Pemantauan Kualiti Air Sungai Melaka; Pemantauan Amaran Banjir Melalui Sungai dan Kempen Melestarikan Sungai Melaka melalui kerjasama pintar membabitkan syarikat swasta dari Amerika Syarikat, SCAC serta Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Beliau berkata, melalui projek itu, peranti pengesan berteknologi pintar akan dipasang dari Sungai Gadek ke baraj Sungai Melaka, sekali gus menukar imej Sungai Melaka melalui penggunaan berteknologi pintar.

“Projek Melaka Smart River ini dijangka dimulakan pada November ini dan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

“Projek ini adalah susulan saranan SCAC yang berpendirian adalah penting untuk menukar imej Sungai Melaka melalui penggunaan teknologi dan promosi supaya Sungai Melaka menjadi lebih lestari lagi ceria,” katanya.

Mengulas lanjut, Adly berkata peranti pengesan bagi kualiti air itu dikeluarkan oleh syarikat swasta, manakala UTeM pula membangunkan sistem aplikasi peranti pengesan pengawalan kadar dan kualiti air bagi Sungai Melaka.

“Dengan adanya pembangunan teknologi pintar, kita boleh kembangkan kepada bentuk aplikasi lain yang akhirnya menjurus ke arah apa yang disebut ‘Melaka App’ (Aplikasi Melaka).

“Dengan adanya Melaka App ini, semua maklumat berkaitan negeri ini dapat dirujuk terus melalui sistem aplikasi pintar termasuklah paras air sungai, penggunaan air terawat, maklumat banjir dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, Adly hadir pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama (MoU) antara kerajaan negeri dan pemaju hartanah, Bitara Niaga Development Sdn Bhd, bagi projek pembangunan bercampur di kawasan tambakan laut di Bandar XLIV di Kota Laksamana seluas kira-kira 40.4 hektar dengan nilai keseluruhan RM1 bilion.

Kerajaan negeri diwakili Pegawai Kewangan negeri, Datuk Hanafi Sakri, manakala Bitara Niaga Development Sdn Bhd diwakili Pengarah dan Pemegang Saham Utama, Datuk Wira Tai Chee Ming.

Projek pembangunan baharu yang memakan masa 15 tahun untuk disiapkan itu merangkumi pembangunan dan pembinaan resort banglo, villa air, hotel, taman tema air dan tempat perayaan.

Berita Harian X