Rabu, 2 Oktober 2019 | 7:05pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman. - Foto BERNAMA
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman. - Foto BERNAMA

Kemaman terajui 5G di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Daerah Kemaman dipilih untuk menerajui ujian kepantasan Teknologi Generasi Kelima (5G) di negeri ini dengan fokus kepada bidang minyak dan gas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyedia dan meningkatkan infrastruktur telekomunikasi di kawasan terbabit.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama MCMC sedang menyediakan infrastruktur untuk kemudahan 5G dan kita jangka prosesnya akan dimulakan pada tahun depan.

“Seterusnya kita akan meningkatkan lagi infrastruktur dengan membina lebih banyak menara telekomunikasi melalui tiga fasa supaya pada masa akan datang, teknologi ini dapat dikembangkan ke seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival Inovasi ICT Negeri Terengganu (KIICT) 2019 di Wisma Darul Imam, di sini, hari ini.

Terengganu dipilih sebagai satu daripada lima negeri termasuk Kedah, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan yang akan menerajui ujian kepantasan 5G di negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai KIICT 2019 yang akan berlangsung Ahad hingga Selasa ini di Terengganu Hub Digital (TD1303), Ariffin berkata, karnival itu platform terbaik untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada pengunjung mengenai perkembangan teknologi ICT semasa.

Katanya, banyak program dan bengkel yang dianjurkan secara percuma serta pertandingan e-Sport yang menawarkan hadiah lumayan kepada pengunjung sepanjang karnival berlangsung.

“Program berbentuk ICT ini penting dalam membangunkan minda generasi muda dan kita mahu mereka supaya terarah kepada perkembangan teknologi maklumat.

“Pertandingan e-Sport seperti PUBG dan Mobile Legend sememangnya sudah menjadi gaya hidup dan rutin kepada golongan muda sekarang,” katanya.

Berita Harian X