Rabu, 2 Oktober 2019 | 4:04pm
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini. - Foto Danial Saad

Kadar cukai taksiran baharu boleh diselaraskan semula

GEORGETOWN: Pelaksanaan kadar cukai taksiran baharu pada tahun depan mungkin diselaraskan semula selepas proses bantahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) selesai.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata selepas proses bantahan dan diikuti pendengaran awam selesai, PBT akan melakukan penyelarasan semula kadar cuka itu, jika diperlukan.

“Selepas tamat (proses) bantahan dan pendengaran, sebarang tambah baik perlu dibuat oleh PBT masing-masing sebelum tarikh kadar cukai berkuat kuasa, iaitu pada 1 Januari 2020,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

September lalu, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan akan menaikkan cukai taksiran dianggarkan sehingga 30 peratus yang dinilai mengikut kategori hartanah, bermula tahun depan.

Kenaikan itu berdasarkan kadar cukai taksiran sedia ada yang tidak disemak sejak 15 tahun lalu, selain peningkatan kos pengurusan oleh PBT.

Bagaimanapun, pemilik hartanah yang tidak berpuas hati dengan Senarai Nilaian Baharu 2020, berhak untuk membuat bantahan mengikut Seksyen 142 Akta Kerajaan Tempatan 1976. Bantahan bertulis boleh dibuat kepada PBT masing-masing pada atau sebelum 14 Oktober ini.

Sementara itu, Kon Yeow, berkata beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat menyediakan peruntukan bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat.

Antaranya, peruntukan bagi projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), penyediaan pelan mitigasi banjir dan kemudahan infrastruktur jalan raya.

“Kita berharap ada sedikit peruntukan kepada Pulau Pinang dalam Belanjawan 2020 untuk kita bangunkan kemudahan terbabit demi manfaat rakyat,” katanya.

Berita Harian X