Ahad, 29 September 2019 | 4:47pm
Majang (dua dari kanan) melawat pameran selepas merasmikan Majlis Karnival dan Pameran Kerjaya serta Roadshow TVET Tahun 2019, di Kolej Vokasional Bintulu. - NSTP/Erika George
Majang (dua dari kanan) melawat pameran selepas merasmikan Majlis Karnival dan Pameran Kerjaya serta Roadshow TVET Tahun 2019, di Kolej Vokasional Bintulu. - NSTP/Erika George

Kikis tanggap negatif, galakkan anak ceburi TVET

BINTULU: Ibu bapa seharusnya mengikis pemikiran negatif bahawa Bidang Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah pilihan kedua berbanding bidang akademik konvensional yang menjadi rebutan para lepasan sekolah yang ditawarkan di kolej atau universiti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi, berkata ibu bapa harus menggalakkan anak-anak mereka mengambil TVET yang juga dilihat mampu melahirkan tenaga kerja tempatan yang diperlukan oleh industri dan negara bagi mengharungi Revolusi Industri 4.0.

Katanya, semua pihak maklum bahawa pada masa sekarang, kerajaan telah menjenamakan semula TVET sebagai satu usaha untuk memperkasakan rakyat, sekali gus memantapkan kolaborasi semua pihak berkepentingan dalam bidang itu agar TVET menjadi pendidikan pilihan dan kerjaya masa depan yang lumayan serta berpotensi tinggi.

“Penjenamaan semula TVET juga berupaya mengubah dan memperbetulkan persepsi negatif masyarakat yang sering beranggapan bahawa sistem pendidikan itu adalah pilihan kedua atau hanya diceburi mereka yang tidak mempunyai kelayakan akademik baik,” katanya.

Majang berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Karnival dan Pameran Kerjaya serta Roadshow TVET Tahun 2019 yang diadakan bertempat di Kolej Vokasional Bintulu di sini, semalam.

Karnival ini secara amnya menjadi wadah bagi menyampaikan maklumat kepada pelajar setempat di samping memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai peluang melanjutkan pelajaran di Kolej Vokasional Bintulu.

“Saya turut dimaklumkan bahawa program ini bertepatan dan sejajar dengan pertandingan inovasi yang bertujuan mencungkil bakat para pelatih dalam pelbagai latar bidang kemahiran yang mana pada kali ini, karnival dan pameran Kerjaya turut berjaya menyatukan sebilangan agensi luar dalam berkongsi minat dan sinergi, ” katanya.

Beliau berkata, selaras dengan Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional Negara (2011-2020), karnival dan pameran sebegini dilihat mampu memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, pencapaian negara berpendapatan tinggi, menitikberatkan latihan kemahiran dan membudayakan sifat keusahawanan.

“Sehubungan itu, pelbagai rangka kerja telah dilakar dan digembleng demi melestarikan hasrat dan keinginan ini melalui pelbagai pertandingan berasaskan kemahiran, pembangunan institusi kemahiran.

“Karnival dan pameran kerjaya yang menghimpunkan sejumlah agensi serta pameran mengenai bidang yang ditawarkan di Kolej Vokasional Bintulu ini, ” katanya.

Berita Harian X