Sabtu, 28 September 2019 | 4:38pm
TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman (kanan) berkata sesuatu kepada penduduk selepas Program Komuniti PPZ-MAIWP 'Sebarkan Kebaikan' bersama Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu, di Dataran PPR Pudu Ulu. NSTP/Hafiz Sohaimi.
TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman (kanan) berkata sesuatu kepada penduduk selepas Program Komuniti PPZ-MAIWP 'Sebarkan Kebaikan' bersama Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu, di Dataran PPR Pudu Ulu. NSTP/Hafiz Sohaimi.

Zakat ringankan beban asnaf

KUALA LUMPUR: Masyarakat Islam dan syarikat patut lebih prihatin untuk membayar zakat pendapatan dan perniagaan bagi membantu meringankan beban asnaf.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Abdul Hakim Amir Osman, berkata kutipan yang lebih besar akan membolehkan agensi itu mengadakan lebih banyak kegiatan untuk manfaat golongan sasar.

“Saya yakin dengan pengisian dan aktiviti yang kita lakukan ini, akan memberi kesedaran dan kefahaman yang lebih meluas kepada orang ramai untuk menunaikan zakat,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu.

Program dengan slogan ‘Sebarkan Kebaikan’ itu bertujuan mempromosi zakat dan perkhidmatan yang disediakan untuk asnaf.

Program Komuniti PPR Pudu Ulu itu dilaksanakan dengan kerjasama Tesco Stores (M) Sdn Bhd.

Hadir sama ialah Ketua Komunikasi dan Perkhidmatan Korporat Tesco (Tanggungjawab Sosial Korporat - CSR), Rohazida Mohamed dan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Pudu Ulu, Nooranis Zulkefly.

Abdul Hakim berkata, program hari ini antara lain menampilkan kaunter Sahabat Zakat, Skim Kafalah Muzakki (khairat kematian), Skim Potongan Zakat Bulanan dan Kaunter Zakat Bergerak PPZ-MAIWP.

“Kami juga menyediakan Lori Agihan Baitulmal-MAIWP supaya golongan asnaf boleh mendaftar bagi permohonan zakat,” katanya.

Berita Harian X