Jumaat, 27 September 2019 | 4:44pm
Gambar fail, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud (tengah) pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Hala Tuju Strategik ke arah Bandaraya Seberang Perai yang mampan dan lestari di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Seberang Perai, Menera MBSP, Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, 17 September lalu. - Foto Rosli Ahmad

MBSP sediakan Ruang Media

BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mewujudkan Ruang Media bagi menghargai peranan dan sumbangan pengamal media yang membuat liputan program anjuran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Ruang Media yang terletak di lobi Menara Bandaraya di sini, dilengkapi penghawa dingin dan pencahayaan akan membantu mengoptimumkan penggunaan ruang dan tenaga, sekali gus memberi keselesaan kepada wartawan dan jurugambar.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud, berkata ruang media itu menjadi antara usaha pihaknya untuk mengurangkan pelepasan karbon dan pemanasan global.

Berikutan itu, katanya, kemudahan berkenaan dibina bercirikan kehijauan dan teknologinya menjadi simbol bagi mencapai inisiatif Penang 2030.

“Selain digunakan untuk tujuan media, ruang ini juga boleh digunakan untuk aktiviti lain seperti memberi taklimat dan perbincangan ringkas, temuramah atau program berskala kecil.

“Dengan adanya ruang dilengkapi kemudahan teknologi, kami berharap ia dapat memberikan komunikasi dua hala yang jelas kepada rakan media dan pegawai di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Projek ruang media itu terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama merangkumi ruang taklimat, dinding hijau, perabot, kemudahan penggunaan elektrik, dan USB Port.

Fasa pertama yang bermula Ogos lalu, siap pada 13 September lalu. Bagi fasa kedua, ia akan ditambahbaik dengan penyediaan sistem visual, naik taraf dinding hijau serta kemudahan pendawaian elektrik.

Rozali berkata, pihaknya mewujudkan ruang itu atas kerjasama yang diberikan pihak media yang tidak jemu membuat liputan berhubung kawasan di Seberang Perai.

“Kita berharap semua rakan media dapat memainkan peranan yang lebih efektif dalam penyampaian serta penyiaran maklumat secara lebih berkesan kepada orang awam.

“Pada masa sama, besar juga harapan pihak kita supaya ruang media ini dapat beroperasi dengan lancar dalam melaksanakan peranannya sebagai medium komunikasi dan informasi dalam penyiaran awam,” katanya.

Berita Harian X