Khamis, 26 September 2019 | 11:09am
KETUA Menteri, Adly Zahari (dua dari kiri) bertukar dokumen bersama Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay (dua dari kanan) pada Majlis Menandatangani Surat Hasrat untuk Program Pelan Pelaksanaan Koridor Pembangunan Hijau dan Pelan Mobiliti Bersepadu Kawasan Warisan di Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KETUA Menteri, Adly Zahari (dua dari kiri) bertukar dokumen bersama Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay (dua dari kanan) pada Majlis Menandatangani Surat Hasrat untuk Program Pelan Pelaksanaan Koridor Pembangunan Hijau dan Pelan Mobiliti Bersepadu Kawasan Warisan di Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Melaka perintis pelan koridor pengangkutan hijau

AYER KEROH: United Kingdom (UK) menerusi Suruhanjaya Tinggi British ke Malaysia memilih Melaka sebagai lokasi projek perintis melaksanakan kajian mengenai Pelan Pelaksanaan Koridor Pengangkutan Hijau dan Pelan Mobiliti Bersepadu Kawasan Warisan.

Kerjasama strategik di bawah peruntukan Dana Kemajuan Global Program Bandar Masa Depan UK itu menyaksikan kajian dan inisiatif perintis yang akan menambah baik asas pembangunan pintar terhadap amalan hijau bagi pengangkutan awam dan mobiliti di negeri ini.

Majlis menandatangani surat hasrat kerjasama itu disempurnakan Ketua Menteri, Adly Zahari bersama Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan.

Adly berkata, kerjasama akan berjalan sepanjang tempoh tiga tahun.

“Dana yang diperuntukkan bagi program ini adalah 17 juta Pound Sterling (RM88.541 juta) dan hasil kajiannya akan digunakan sebagai panduan bagi Melaka untuk mengembalikan kewibawaan negeri ke arah negeri pintar, hijau dan bersih.

“Kerajaan negeri akan memberi komitmen sepenuhnya, sepanjang tempoh tiga tahun kajian ini berlangsung,” katanya

Beliau berkata, Majlis Penasihat Bandar Pintar Melaka akan bertindak sebagai penyelaras program dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau (PHTM) dan dibantu Kumpulan Industri Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) yang bertindak sebagai penyelaras, penasihat dan penyumbang pengetahuan pakar di peringkat kebangsaan.

Katanya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) pula akan bersama menyumbang input yang diperlukan sepanjang kajian berkenaan dilaksanakan.

“Satu jawatan kuasa pemandu akan dibentuk bagi memantau perkembangan program sekaligus memastikan kejayaan kajian ini.

“Saya berharap semua pihak turut terbabit sama memberi kerjasama kepada juru runding yang bakal dilantik oleh Suruhanjaya Tinggi British bagi menyempurnakan kajian ini. Saya percaya kejayaan program ini memberi manfaat kepada negeri dan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Berita Harian X