Sabtu, 21 September 2019 | 4:43pm
PENGARAH Kesihatan Negeri, Mohd Jusoh menyampaikan ucapan pada Program Gotong-Royong Mega 2.0 Peringkat Negeri Terengganu di Taman Purnama, Kampung Tok Adis, Kuala Ibai. - Foto Imran Makhzan
PENGARAH Kesihatan Negeri, Mohd Jusoh menyampaikan ucapan pada Program Gotong-Royong Mega 2.0 Peringkat Negeri Terengganu di Taman Purnama, Kampung Tok Adis, Kuala Ibai. - Foto Imran Makhzan

Kes denggi di Terengganu meningkat tapi masih terkawal

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 468 kes denggi, termasuk dua kematian dilaporkan di negeri ini sehingga minggu lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh, berkata walaupun kes denggi menunjukkan peningkatan yang tinggi tapi masih lagi terkawal.

“Peningkatan berlaku sebanyak 58.1 peratus atau 172 kes, jika dibandingkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, iaitu sebanyak 296 kes tetapi keadaan masih terkawal.

“Sehingga Ogos lalu, premis yang didapati positif menjadi pembiakan aedes sebanyak 2,260 dan bilangan premis dikenakan kompaun di bawah akta pemusnahan serangga pembawa penyakit 1975 pindaan 2000.

“Seramai 801 pemilik premis dan kediaman menjelaskan bayaran kompaun berjumlah RM122,550,” katanya ketika ketika ditemui pada majlis perasmian Gotong-Royong Mega Perangi Aedes peringkat negeri di Kampung Tok Adis, di sini, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan ole Setiausaha Politik Menteri Kesihatan, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Dr Kasemani Embong.

Dr Mohd berkata, jabatan kesihatan akan terus melakukan penguatkuasaan dan mengesan premis yang didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Beliau berkata, jabatan kesihatan sedia mendapatkan bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya ada pegawai kesihatan dihalang memasuki dan melakukan pemeriksaan tempat pembiakan aedes dalam premis.

Katanya, mereka yang didapati bersalah kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas termasuk tidak membenarkan masuk, membuat pemeriksaan, tidak memberi maklumat dan tidak membenarkan membuat kawalan serta pencegahan penyakit bawaan vektor boleh dikenakan tindakan.

“Orang awam yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut seksyen 21, Akta 154, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Jadi, orang ramai diminta memberi kerjasama jika didatangi pegawai dan anggota kesihatan untuk melakukan pemeriksaan tempat pembiakan aedes, termasuk di dalam premis,” katanya.

Berita Harian X