Isnin, 16 September 2019 | 1:23pm
TAMAN Mini Malaysia dan ASEAN di Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman
TAMAN Mini Malaysia dan ASEAN di Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman

Taman Mini Malaysia, ASEAN di Melaka perlu henti operasi

MELAKA: Taman Mini Malaysia dan ASEAN di Ayer Keroh di sini perlu dihentikan operasinya segera atas faktor keselamatan dan penyelenggaraan yang tidak memuaskan, kata Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Mohd Rafiq, yang juga Pengerusi Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka berkata, langkah penutupan pusat tarikan pelancong itu bagaimanapun akan segera dibincangkan dengan syarikat pengurusan Taman Mini Malaysia dan ASEAN itu tanpa menjejaskan rundingan kedua-dua pihak.

“Taman Mini Malaysia dan ASEAN adalah aset milik PKNM dan taman berkenaan kini diuruskan oleh syarikat swasta.

“Kerajaan Negeri melalui PKNM banyak menerima aduan berhubung tahap keselamatan dan penyelenggaraan yang tidak memuaskan daripada pelancong tempatan dan asing,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terbaharu, aduan berhubung tahap keselamatan dan penyelenggaraan yang diabaikan sehingga boleh mengundang kemalangan dan kecederaan kepada pengunjung di pusat itu dibuat menerusi Facebook seorang pengguna yang dikenali sebagai ‘Aryadi Razak’.

Antara kerosakan yang didakwa termasuk keadaan lantai Rumah Sarawak yang tidak kukuh atau goyah selain beberapa rumah lain yang mengalami atap bocor, tangga rosak dan lantai berdebu.

Mohd Rafiq berkata penyelenggaraan dan tahap keselamatan yang rendah dan tidak memuaskan memberi imej negatif kepada Kerajaan N egeri dan sektor pelancongan yang dikenali di seluruh dunia. – BERNAMA

Berita Harian X