Isnin, 16 September 2019 | 12:36pm
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Datuk Rozali Mohamad mengangkat sumpah sebagai jawatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai semasa Majlis Pengistirahan Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Penyerahan Watikah Pelantikan Datuk Bandar di Dewan Millenium, Kepala Batas. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Seberang Perai kini berstatus bandar raya

KEPALA BATAS: Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) secara rasminya diisytiharkan sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berkuatkuasa hari ini.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas hadir menyempurnakan majlis itu selepas menerima suratcara pengisytiharan daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Dalam majlis sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow turut mengumumkan pelantikan Datuk Rozali Mohamud sebagai Datuk Bandar MBSP yang pertama.

Hadir sama menyaksikan peristiwa bersejarah itu termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).


Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas(dua dari kanan) menyerahkan cokmar kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Datuk Rozali Mohamad sebagai simbolik penerimaan jawatan sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai semasa Majlis Pengistirahan Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Penyerahan Watikah Pelantikan Datuk Bandar di Dewan Millenium, Kepala Batas. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Pertukaran status MPSP kepada MBSP dibuat sejurus mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebelum itu, usaha bagi menaiktaraf status MPSP kepada MBSP sudah dilakukan dengan menghantar permohonan bertulis kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Disember tahun lalu.

Dengan pengisytiharan itu, ia menjadikan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang kini berstatus bandaraya.

Berita Harian X