Ahad, 15 September 2019 | 11:33am
Aktiviti melepaskan anak-anak penyu di kampung Bavang Jamal, Kudat dengan pelancong dari dalam dan luar negara. Gambar kecil, Pengerusi Persatuan Pemeliharaan Penyu Kudat, Sofia Johari. - Foto ihsan Persatuan Pemeliharaan Penyu Kudat

Kerosakan terumbu karang dikhuatiri jejaskan kehadiran penyu

KOTA KINABALU: Kerosakan terumbu karang di Perairan Kudat, Ahad lalu, dikhuatiri menjejaskan populasi penyu di kawasan berkenaan apabila terpaksa mencari lokasi lain sebagai tempat membiak dan berlindung.

Pengerusi Persatuan Pemeliharaan Penyu Kudat, Sofia Johari, berkata gangguan terhadap ekosistem itu mungkin akan mengakibatkan penyu yang berada di kawasan berkenaan berhijrah ke lokasi lain.

Katanya, keadaan itu akan menyebabkan berkurangnya populasi penyu yang juga antara tarikan pelancong di Perairan Kudat, khususnya di Pulau Kalampunian.

“Kerosakan terumbu karang akan menjejaskan sumber bekalan makanan dan tempat penyu berlindung. Lokasi yang terjejas itu adalah tumpuan pelancong untuk aktiviti snorkeling dan selam skuba.

“Lokasi berhampiran kawasan terjejas juga menjadi tumpuan memancing dan kejadian yang berlaku sebelum ini sememangnya menjejaskan aktiviti pelancongan di situ,” katanya letika dihubungi, di sini hari ini.

Pada 8 September lalu, kapal kargo MV Lewang sepanjang 84 meter itu terkandas di atas terumbu karang, kira-kira lima batu nautika dari Pulau Kalampunian yang berasa dalam kawasan Taman Marin Tun Mustapha, Kudat.

Sofia ketika mengulas lanjut, berkata kajian kini sedang dijalankan Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi mendapatkan data populasi penyu di perairan berkenaan.

Katanya,kajian genetik juga dilakukan bagi mengenal asal usul penyu yang ada di situ dengan bantuan ahli persatuan dan penduduk kampung.

“Kajian mengenai populasi penyu akan diketahui tahun depan. Berdasarkan kajian lalu, memang ada penyu dari negara jiran seperti Filipina, selain dari Sabah sendiri yang singgah ke perairan itu, sama ada untuk bertelur atau mencari makanan.

“Ahli persatuan juga pernah menemui penyu bertelur di kawasan pantai di siji (perairan Kudat) yang mempunyai tag atau penandadari negara Filipina,” katanya sambil menambah ada tiga jenis penyu di kawasan berkenaan iaitu penyu hijau, penyu karah dan penyu lipas.

Sofia turut menyifatkan tindakan kerajaan negeri meminta jumlah pampasan yang lebih tinggi adalah wajar kerana untuk menjalankan kerja pemuliharaan terumbu karang memerlukan kos besar.

“Usaha ini (pemuliharaan)akan membabitkan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan berkaitan, penduduk kampung, pengusaha pelancongan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kerja pemuliharaan terumbu karang bukan mudah, lazimnya mengambilmasa beberapa tahun dan memerlukan pemantauan berterusan yang boleh mengambil masa sehingga 10 tahun. Jenis batu karang paling cepat pertumbuhannya pun akan mengambil masa hingga 15 tahun untuk pulih sepenuhnya,” katanya.

Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais sebelum ini dilaporkan berkata seluas 3,625 meter persegi kawasan dikenalpasti terjejas dan ketika ini, pasukan penyelam dari Taman-Taman Sabah dan Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia berada di lapangan untuk menilai tahap kerosakan terumbu karang di kawasan terbabit.

Berita Harian X