Jumaat, 13 September 2019 | 6:05pm
KETUA Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar (belakang, enam dari kiri) bergambar bersama pelajar pada Program Pertukaran Pelajar Institut Teknologi Kebangsaan, Kolej Nagaoka Jepun (NITNC)-Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Melaka di Bandar Vendor, Taboh Naning, hari ini. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KETUA Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar (belakang, enam dari kiri) bergambar bersama pelajar pada Program Pertukaran Pelajar Institut Teknologi Kebangsaan, Kolej Nagaoka Jepun (NITNC)-Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Melaka di Bandar Vendor, Taboh Naning, hari ini. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Insentif RM500 bagi pelatih kemahiran

ALOR GAJAH: Bayaran insentif RM500 sebulan kepada pelatih kemahiran dalam industri tertentu adalah antara cadangan dikemukakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja berkemahiran ketika ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar berkata, jumlah itu adalah tambahan bayaran oleh pihak industri kepada pelatih yang mengikuti kerja kemahiran di firma mereka selama tempoh enam bulan.

“Bantuan yang dinamakan ‘wage supplement’ ini kita akan bagi pada penuntut kemahiran dalam bidang industri tertentu selama tempoh enam bulan.

“Contohnya kalau pihak industri bayar RM1,000 sebulan, mungkin kita boleh tambah RM500 selama tempoh enam bulan menjadikan mereka dapat RM1,500.

“Jadi penuntut selesa kerana kos sara hidup sekarang agak tinggi,” katanya ketika ditemui selepas Program Pertukaran Pelajar Institut Teknologi Kebangsaan, Kolej Nagaoka Jepun (NITNC)-Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Melaka di Bandar Vendor, Taboh Naning di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah ADTEC Melaka Mohd Zabidin Abd Samad dan Pensyarah NITNC, Prof Dr Hisako Okumura.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dilaporkan berkata, kekurangan pekerja berkemahiran serta ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan pekerja di negara ini perlu ditangani segera kerana ia secara tidak langsung akan menjejaskan ekonomi negara.

Selain itu, beliau dipetik berkata, ia turut menjejaskan industri utama negara seperti sektor kesihatan, pembuatan serta pembinaan kerana sektor terbabit memerlukan pekerja mahir.

Perincian peruntukan cadangan itu belum disiapkan, katanya.

“Bagaimanapun, semua mereka yang mengikuti Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) boleh membuat permohonan itu,” katanya.

Program pertukaran itu menyaksikan 24 penuntut NITNC dan empat pensyarah institut itu berada di ADTEC Melaka selama lima hari bermula pada 9 September untuk berkongsi pengalaman pendidikan kemahiran dan budaya di negara ini.

Berita Harian X