Jumaat, 13 September 2019 | 5:56pm
Kapal kargo yang merosakkan kawasan terumbu karang seluas 3,625 meter persegi di Perairan Kudat, Ahad lalu. - Ihsan Ivan Tan
Kapal kargo yang merosakkan kawasan terumbu karang seluas 3,625 meter persegi di Perairan Kudat, Ahad lalu. - Ihsan Ivan Tan
Kapal kargo yang merosakkan kawasan terumbu karang seluas 3,625 meter persegi di Perairan Kudat, Ahad lalu. - Ihsan Ivan Tan

Bayar pampasan, gantirugi jika rosakkan terumbu karang

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang meneliti tindakan sewajarnya, termasuk menuntut bayaran pampasan lebih tinggi daripada pihak pengurusan kapal kargo yang merosakkan kawasan terumbu karang seluas 3,625 meter persegi di Perairan Kudat, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, berkata ejen kapal kargo itu ada menawarkan bayaran gantirugi, namun jumlahnya terlalu sedikit berbanding kesan sampingan berkaitan susulan kerosakan yang berlaku.

“Mereka (ejen kapal) ada menawarkan sejumlah wang untuk kerja pemulihan terumbu karang, tetapi jumlahnya agak kecil. Kita mengambil ketetapan tidak membenarkan mana-mana kapal atau sesiapa saja memusnahkan terumbu karang di perairan negeri ini.

“Jika itu berlaku, mereka perlu membayar ganti rugi berdasarkan undang-undang sedia ada. Bagaimanapun, kita berharap perkara ini akan dapat diselesaikan dengan baik, namun jika perbincangan (berkaitan pampasan) tidak berjaya, kita akan mempertimbangkan tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata demikian pada sidang media Tropical Rainforest Run, di sini hari ini.

Christina mengulas mengenai perkembangan terkini terumbu karang yang dilanggar sebuah kapal kargo selepas terkandas di perairan cetek di Pulau Kalampunian, Kudat.

Ahad lalu, kapal sepanjang 84 meter itu didapati terkandas di atas terumbu karang, kira-kira lima batu nautika dari Pulau Kalampunian di Taman Marin Tun Mustapha, Kudat.

Sementara itu, Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais, berkata pada ketika ini pasukan penyelam dari Taman-Taman Sabah dan Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia berada di lapangan untuk menilai tahap kerosakan terumbu karang di kawasan terbabit.

“Setakat ini kita sudah mengenal pasti kawasan terjejas. Mungkin seluas 3,625 meter persegi yang mana kawasan itu berpotensi mengalami pelbagai tahap kerosakan (terumbu karang).

“Kita juga sudah membincangkan bagaimana tahap pemulihan yang diperlukan. Kita juga sudah berhubung dengan ejen pemilik kapal dan berbincang berkaitan kos yang diperlukan untuk kerja pemulihan (terumbu karang) di kawasan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Jamili berkata, kapal kargo itu sudah ditarik ke kawasan lebih dalam dan tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu sehingga proses dokumentasi selesai dilaksanakan.

Berita Harian X