Jumaat, 13 September 2019 | 9:58am
PEKERJA kontrak membersihkan persekitaran Plaza Tol Bukit Raja dalam keadaan berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara mencatatkan (IPU) 134 pada jam 9.00 pagi. - Foto Saddam Yusoff
ORANG ramai menjalani aktiviti bersenam dalam keadaan jerebu melanda di sekitar Kompleks Sukan Pandamaran, Klang dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada jam 8 pagi adalah 211 iaitu paras sangat tidak sihat. - Foto Faiz Anuar

Selangor tetapkan pembenihan awan di kawasan IPU lebih 200

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menetapkan operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di kawasan berjerebu yang mencatat bacaan sangat tidak sihat dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian, berkata perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), semalam.

Selain itu, katanya, semua sekolah, tadika dan taska diarahkan tutup serta-merta apabila IPU mencatat bacaan melebihi 200, selepas mendapat pengesahan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana pada peringkat daerah dan negeri pula perlu diaktifkan apabila IPU mencatat bacaan antara 151 hingga 200 (tahap tidak sihat) melebihi 24 jam, manakala kerajaan negeri akan membekalkan topeng kepada orang awam.

“Bagi menangani isu pembakaran terbuka dan jerebu yang melanda Selangor kini, kerajaan negeri akan mengguna pakai Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan serta Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.


HEE Loy Sian

Dalam pada itu, Loy Sian turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa dan tidak melakukan pembakaran terbuka ketika musim jerebu.

“Orang ramai diminta tidak melakukan pembakaran terbuka, bekerjasama memadamkan kebakaran kecil dan melaporkan kes kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui talian 999.

“Semua pihak juga digesa tidak membiarkan tanah atau premis mereka dimasuki dan dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlaku pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja,” katanya.

Loy Sian menegaskan, mana-mana pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka, boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya, kompaun maksimum berjumlah RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

Beliau sekali gus menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar rumah, selain mengikuti makluman IPU semasa melalui aplikasi MyIPU untuk mengetahui maklumat kualiti udara di stesen pemantauan seluruh negara.

Katanya, ia boleh dilakukan dengan memuat turun aplikasi itu daripada Google Play atau App Store secara percuma menggunakan telefon pintar, atau melalui laman sesawang JAS: www.doe.gov.my mahupun apims.doe.gov.my.

“Orang awam juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan pembakaran terbuka dengan menghubungi JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau Ibu Pejabat JAS Malaysia menerusi talian 03-8871 2000 atau menghubungi Bilik Kawalan JAS Selangor melalui talian 03-55197233,” katanya.

Sementara itu, Johan Setia terus merekodkan IPU sangat tidak sihat dengan bacaan 211, setakat jam 8 pagi tadi.

Kawasan mencatat bacaan IPU tidak sihat pula meliputi Petaling Jaya (136), Shah Alam (133), Klang (125), Banting (122) dan Kuala Selangor (108).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Berita Harian X