Rabu, 11 September 2019 | 8:24pm
Ismail Nasaruddin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

NUFAM minta kerajaan lindungi hak ahli berpersatuan

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) mahu kerajaan melindungi ahlinya supaya tidak menjadi mangsa pemberhentian kerja secara tidak adil seperti didakwa berlaku ketika pentadbiran kerajaan lalu.

Presidennya, Ismail Nasaruddin, berkata Kementerian Sumber Manusia juga perlu melindungi kakitangan daripada tindakan majikan yang menghalang kesatuan daripada memainkan peranan mereka di syarikat.

“Kami juga mahu pihak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap pihak yang melakukan tindakan tidak adil terhadap ahli NUFAM dengan membuka semula kes berkaitan penamatan kontrak pekerja secara tidak sah,” katanya pada sidang media di pejabat NUFAM, di sini, hari ini.

Ismail mendakwa Kementerian Sumber Manusia kerajaan lalu gagal melindungi ribuan pekerja yang diberhentikan pihak Malaysia Airlines (MAS) dengan 3,500 kes gagal dirujuk ke mahkamah kerana alasan menteri yang lemah.

Sehubungan itu, NUFAM mahu pihak kementerian memastikan kes sedemikian tidak akan berulang dan tidak menganggap kes seperti itu terpencil berikutan ramai pekerja tidak bersalah menderita dan menjadi mangsa kepada majikan tidak bertanggungjawab.

“Kami menggesa pihak kementerian terbabit dapat menyelesaikan isu ini dengan segera bagi membela nasib pekerja yang diberhentikan secara tidak adil,” katanya.

186 dibaca
Berita Harian X