Rabu, 11 September 2019 | 3:55pm

Polis lupus RM11.45 juta dadah

SEREMBAN: Pelbagai jenis dadah bernilai RM11.45 juta yang dirampas daripada 5,065 kes sejak 1994 sehingga tahun lalu dilupuskan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad, berkata ia rampasan kes dari enam daerah iaitu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur serta Ibu Pejabat Polis dan Daerah (IPD) Sentul, Dang Wangi, Brickfields, Wangsa Maju dan Putrajaya.

Katanya, pelupusan itu membabitkan dadah jenis kanabis 345,128 gram, heroin (20,103 gram), monoacetylmorphines (132.70 gram), campuran heroin monoacetylmorphines (1,855.50 gram), morfin (127.20 gram), methamphetamine (17,480 gram), ketamin (5,066 gram), nimetazepam (2,319 gram), mdma (92.94 gram), mitragynine (630.83 gram) dan lain-lain (4,114.18 gram).

Selain itu, turut dilupuskan air ketum sebanyak 26,518 mililiter dan codein (9,703 mililiter).

“Semua barang kes ini selesai perbicaraan di mahkamah dan mendapat perintah untuk dilupuskan.

“Ia bertujuan mengelakkan tempat penyimpanan menjadi padat dan memberi ruang kepada barang kes baharu serta masih pada peringkat perbicaraan. Ia juga dapat mengelak barang kes menjadi lusuh, koyak dan dirosakkan makhluk perosak sekali gus memberi risiko kepada anggota bertugas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelupusan barang kes dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur di Pusat Kualiti Alam di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Cenviro, Dr Johari Jalil dan Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Sharifah Zakiah Syed Sahab.

Roslan berkata, polis menggunakan khidmat kepakaran Kualiti Alam Sdn Bhd untuk melaksanakan pelupusan itu selaras dengan kehendak piawaian JAS.

Katanya, dadah berkenaan dilupus menggunakan kemudahan terbaru, iaitu loji penunuan yang menghasilkan tenaga baru, teratur dan tidak menyebabkan berlaku pencemaran udara.

376 dibaca
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad (kiri) menunjukkan pelbagai jenis barang kes dadah dianggarkan bernilai RM11.45 juta yang akan dilupuskan ketika hadir ke Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Bangunan EPIC Kualiti Alam. Turut bersama, Pengarah Urusan Cenviro, Dr. Johari Jalil (kanan). - Foto Adzlan Sidek
Berita Harian X