Rabu, 11 September 2019 | 12:05pm
MENTERI Muda Pendidikan dan Teknologi Penyelidikan negeri, Dr Annuar Rapaee menyampaikan Sijil Kemahiran Malaysia kepada graduan pada Majlis Konvokesyen Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Peringkat Sarawak 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Kuching, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad

Terus belajar kemahiran walaupun sudah bekerja - Dr Annuar

KUCHING: Anak muda Sarawak tidak mempunyai banyak pilihan selain menguasai kemahiran untuk bersaing dalam pasaran kerja yang menawarkan gaji lebih tinggi.

Menteri Muda Pendidikan dan Teknologi Penyelidikan negeri, Dr Annuar Rapaee, berkata kadar pengangguran mampu diturunkan sekiranya pencari kerja mempunyai kemahiran, berbanding penguasaan teori semata-mata.

“Dalam apa jua bidang, kemahiran adalah kunci kepada perkembangan kerjaya. Tiada satu pun sektor pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran,” katanya.

Dr Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Peringkat Sarawak 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.

Beliau memberi contoh, sistem pembelajaran kemahiran yang diambil daripada Jerman menunjukkan kadar kejayaan lebih tinggi terutama di negara membangun.

“Pengajian kemahiran merangkumi pembelajaran sepanjang hayat walaupun pencari kerja sudah berjaya mendapatkan pekerjaan.

“Pengajian kemahiran bukan pada tahap satu, dua dan tiga, malah mengamalkan kemahiran ketika bekerja adalah landasan terbaik mempertajamkan kemahiran kita yang sedia ada,” katanya.

Pada majlis konvokesyen berkenaan, seramai 544 graduan SLDN menamatkan latihan dalam bidang automotif, kenderaan berat, juruelektrik, pendandan rambut, kimpalan, akuakultur dan hospitaliti.

Program SLDN bertujuan menambah pengeluaran tenaga kerja mahir bagi memenuhi kehendak pasaran dengan modul pengajian membabitkan maksimum 80 peratus latihan praktikal di syarikat industri.

334 dibaca
Berita Harian X