Selasa, 10 September 2019 | 4:19pm
Gua Niah memiliki banyak kelebihan daripada aspek sejarah dan warisan yang harus dipromosi dan dipelihara. - Arkib NSTP
Gua Niah memiliki banyak kelebihan daripada aspek sejarah dan warisan yang harus dipromosi dan dipelihara. - Arkib NSTP

Sarawak akan bawa kembali rangka manusia awal ke Gua Niah

MIRI: Kerajaan negeri sedang berusaha membawa balik rangka manusia yang membuktikan penempatan terawal manusia di Asia Tenggara dijumpai di Gua Niah untuk ditempatkan kembali di gua itu.

Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, berkata Gua Niah memiliki banyak kelebihan daripada aspek sejarah dan warisan yang harus dipromosi dan dipelihara.

“Kita sedang mengusahakan cara untuk bawa balik rangka manusia yang kini berada di Amerika dan Australia untuk kembali ke Gua Niah.

“Tujuannya supaya khazanah ini dapat dipelihara dan dikenali oleh masyarakat tempatan dan juga menjadi satu jenama khusus kepada negeri Sarawak,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Lukanisman berkata, kajian terkini yang dibuat oleh penyelidik adalah rangka rangka itu berusia dalam lingkungan 65,000 tahun berbanding 40,000 tahun dalam kajian sebelumnya.

Melihat kepada perkembangan ini, katanya, kerajaan negeri dan ‘stakeholders’ sedang berusaha menjadikan gua tersebut sebagai Tapak Warisan Dunia terbaharu diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau berkata, jika berjaya, Gua Niah yang terletak lebih sejam perjalanan darat dari bandar raya ini akan menjadi tapak warisan dunia kedua di bahagian ini selepas Gua Mulu.

“Ini adalah satu usaha bukan mudah tetapi dengan kerjasama kerajaan dan masyarakat saya pasti usaha ini akan berjaya dilaksanakan,” katanya.

Lukanisman berkata, selain warisan, penyelidikan budaya hidup moden juga perlu dilaksanakan seperti kajian seperti budaya pop, sejarah pembangunan muzik Melayu dan kebudayaan masa kini.

Berita Harian X