Selasa, 10 September 2019 | 1:02pm
KEJADIAN kapal dagang yang terkandas akibat kerosakan peralatan navigasi di perairan Pulau Kalampunian di Kudat dikhuatiri menyebabkan kemusnahan terumbu karang. - Foto Ihsan Ivan Tan
KAWASAN terumbu karang yang rosak di mana sebuah kapal dagang yang terkandas akibat kerosakan peralatan navigasi di perairan Pulau Kalampunian di Kudat . - Foto Ihsan Ivan Tan

Batu karang, tempat penyu cari makan rosak dilanggar kapal kargo

KUDAT: Insiden kapal kargo terkandas di perairan cetek dekat Pulau Kalampunian Kecil, di sini, kelmarin, merosakkan batu karang dan lokasi penyu mencari makan di kawasan itu.

Pengasas Blue Fin Surf and Dive, Ivan Tan, berkata kapal itu yang terkandas selama dua hari akibat kegagalan alat navigasi, tersasar di lokasi menyelam yang dikenali sebagai ‘Nemo Point’.

“Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan semalam (kelmarin), ia membentuk satu saluran, tetapi jelas kapal itu menyebabkan kerosakan terhadap batu karang di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


KEADAAN kapal dagang yang terkandas akibat kerosakan peralatan navigasi di perairan Pulau Kalampunian di Kudat dikhuatiri menyebabkan kemusnahan terumbu karang. - Foto Ihsan Samri Magunding

Kelmarin, Ivan terkejut melihat kapal berkenaan berada di perairan cetek ketika membawa tetamu melakukan aktiviti snorkeling di kawasan itu pada jam 9 pagi.

Katanya, insiden sama pernah berlaku pada akhir 1970-an dan 1980-an, namun kali ini lebih memberi kesan buruk terhadap batu karang serta penyu.

“Kami berharap kerja pemulihan dapat dijalankan pihak berkaitan di kawasan terjejas memandangkan batu karang mengambil masa antara lima tahun hingga 10 tahun untuk membesar,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pemeliharaan Penyu Kudat, Sofia Johari, pula berkata, berdasarkan kajian Universiti Malaysia Sabah (UMS), kawasan yang terjejas adalah lokasi penting penyu mencari makanan.

“Kawasan yang rosak boleh memberi kesan buruk kepada populasi penyu di kawasan ini atau yang datang dari kawasan lain di rantau ini,” katanya.

Perairan Kudat adalah sebahagian daripada 898,762.76 hektar Taman Tun Mustapha Park dengan biodiversiti unik yang menyokong habitat kompleks hidupan marin.

Ia juga habitat bagi spesies diancam kepupusan seperti penyu hijau dan dugong.

Berita Harian X