Isnin, 9 September 2019 | 5:29pm
ANTARA bentuk karakter pau yang dihasilkan Md Naquib Noor Ahmad. - Foto ihsan Md Naquib Noor Ahmad
ANTARA bentuk karakter pau yang dihasilkan Md Naquib Noor Ahmad. - Foto ihsan Md Naquib Noor Ahmad

Pau pelbagai warna, bentuk karakter kartun tarik pembeli

SIPITANG: Pau dijual lazimnya berbentuk bulat dan berwarna putih atau hijau bagi yang berperisa pandan.

Namun, lain pula pau dihasilkan seorang pemuda dari Kampung Guruh-Guruh, di sini, yang bukan saja ada pelbagai warna tetapi juga berbentuk pelbagai karakter kartun popular sehingga menarik perhatian orang ramai.

Md Naquib Noor Ahmad, 36, berkata pau yang baru dihasilkannya kira-kira tiga minggu lalu itu dipanggil Charpao, iaitu singkatan kepada ‘character pao’.

Beliau berkata, pau berkenaan juga ada pelbagai inti, termasuk kacang tanah, coklat, durian dan karbonara cendawan dengan ayam.

“Charpao ini dijual di gerai tepi jalan kampung, selain turut dipasarkan oleh kenalan di beberapa daerah lain seperti Beaufort, Papar dan Kota Kinabalu.

“Uniknya pau yang saya jual ialah berbentuk pelbagai karakter kartun seperti Angry Bird, Transformer, Panda, Ninja, Doraemon, Smurf dan banyak lagi mengikut permintaan pelanggan,” katanya ketika dihubungi.

MD Naquib Noor Ahmad menjual pau digerainya di Kampung Guruh-Guruh. - Foto ihsan Md Naquib Noor Ahmad
MD Naquib Noor Ahmad menjual pau digerainya di Kampung Guruh-Guruh. - Foto ihsan Md Naquib Noor Ahmad

Beliau berkata, idea itu timbul selepas melihat pau dijual di Indonesia mempunyai pelbagai bentuk dan warna.

“Sasaran awal saya ialah kanak-kanak atau remaja tetapi selepas menjualnya, saya melihat penggemar kuih ini adalah golongan dewasa,” katanya.

Beliau berkata, Charpao boleh didapati di gerainya di Kampung Guruh-Guruh dari seawal jam 6.30 pagi hingga kira-kira jam 10 pagi.

“Buat masa ini, saya cuma boleh menghasilkan 60 biji sehari dan tempahan adalah terhad kerana ia dibuat secara manual dengan mengulinya menggunakan tangan.

“Namun, saya dalam perancangan mengembangkan perniagaan ini dan sedang berusaha membeli mesin pengadun supaya dapat memenuhi tempahan daripada kenalan yang menjualnya di daerah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Iza Syed Muhaimin, 32, berkata pau itu dijual digerainya sejak kira-kira dua minggu lalu dan mendapat sambutan orang ramai.

“Gerai kami beroperasi di Uptown Belia Beaufort bermula jam 6 petang hingga tengah malam, justeru Charpao hanya boleh didapati waktu itu,” katanya.

Berita Harian X