Ahad, 8 September 2019 | 12:54pm
Agensi kerajaan, swasta dan penduduk ganding bahu cegah denggi di Taman Paya Rumput Indah. - Foto Nazri Abu Bakar
Agensi kerajaan, swasta dan penduduk ganding bahu cegah denggi di Taman Paya Rumput Indah. - Foto Nazri Abu Bakar

Gotong-royong 'gempur' kawasan pembiakan Aedes

MELAKA: Penduduk Taman Paya Rumput Indah, di sini, ‘menggempur’ kawasan pembiakan nyamuk Aedes menerusi program gotong-royong di kawasan perumahan itu, hari ini.

Usaha itu dibuat susulan seramai 12 penghuni taman perumahan itu dilaporkan diserang demam denggi sebelum ini sekali gus mengancam keselamatan ratusan penduduk lain.

Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Paya Rumput Indah, Norsaiful Irwan Shah, berkata ancaman demam denggi yang menimpa seramai 12 penduduk dalam tempoh sebulan itu adalah cukup membimbangkan.

Katanya, kerjasama efektif daripada seluruh penduduk termasuk agensi kerajaan dan swasta juga memberi impak terhadap usaha pembersihan berkenaan.

“Antara yang terbabit termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah yang bekerjasama bagi membanteras kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

“Kami amat menghargai usaha Jabatan Kesihatan yang kerap mengadakan semburan serta ubat khusus bagi membanteras nyamuk Aedes di kawasan air bertakung,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif program gotong-royong membersihkan kawasan perumahan itu berikutan rasa bimbang susulan sembilan daripada 12 mangsa demam denggi menetap di satu lorong di taman berkenaan.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan negeri turut mengedarkan risalah dan menampal poster bahaya denggi di kawasan berkenaan selain rondaan dan pemeriksaan di rumah penduduk.

Seorang penduduk yang baharu sahaja keluar daripada menjalani rawatan di hospital, Malik Faizal Hassan ,46 berkata serangan denggi amat menakutkan.

“Selain hilang selera makan, sendi dan saraf juga menjadi lemah. Badan pula menggigil serta mengalami demam panas.

“Pengalaman ditahan selama enam hari di dalam wad berbanding beberapa jiran yang ditahan lebih 10 hari mendorong saya bersama penduduk lain untuk memerangi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Malik berkata, walaupun umumnya kawasan rumahnya bersih namun sikap terlepas pandang terutama di kawasan longkang terbiar berhampiran serta semak menjadi antara kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

Berita Harian X