Rabu, 4 September 2019 | 4:12pm
Guru Besar SK Mekasar, Hamidah Ramli (kanan) memberi semangat terakhir sebelum murid memasuki dewan bagi menduduki UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Mekasar. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Hadiah tiket penerbangan untuk calon UPSR dapat 6A

PASIR MAS: Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Mekasar, di sini, dijanjikan hadiah tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur sekiranya mendapat 6A.

Janji itu dibuat sejak beberapa bulan lalu sebagai pembakar semangat kepada 84 calon sekolah berkenaan untuk meningkatkan usaha mencapai keputusan cemerlang.

Guru Besar SK Mekasar, Hamidah Ramli, berkata kempen ‘Bulih 6A Kita Naik Kapal Terbang Free Ke Kuala Lumpur’ jelas memberi impak positif apabila dua calonnya berjaya meraih 6A dalam peperiksaan pra-UPSR.

Beliau berkata, tawaran itu mungkin kelihatan biasa, namun ia sangat berharga bagi murid terutama di luar bandar yang tidak pernah berpengalaman menaiki kapal terbang.


Sebahagian 84 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) SK Mekasar menikmati minum pagi selepas selesai menjawab Kertas Bahasa Melayu (Pemahaman). - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

“Tiket kapal terbang akan dibeli sendiri oleh saya. Idea ini juga atas kemahuan saya sebagai Guru Besar yang mahu melihat anak didik mendapat keputusan terbaik, sekali gus membanggakan ibu bapa dan seluruh warga sekolah ini.

“Guru di sekolah ini berusaha dengan pelbagai cara untuk menjadikan murid, terutama calon UPSR, lebih bersemangat menimba ilmu dan seterusnya memperoleh keputusan cemerlang.

“Selain aktif menjalankan aktiviti belajar secara berkumpulan dan pelbagai program motivasi di dalam serta luar sekolah, kita juga mengadakan solat hajat selama 100 hari sebelum UPSR bermula,” katanya yang bakal bersara, tidak lama lagi.

Sebagai pendidik, Hamidah berkata, mereka juga perlu sentiasa peka bagi memastikan murid tidak mudah berputus asa.

“Saya berharap segala penat lelah dan pengorbanan barisan guru di SK Mekasar mahupun sekolah lain, akan terbalas dengan kecemerlangan murid dalam peperiksaan UPSR ini,” katanya.

Berita Harian X