Rabu, 4 September 2019 | 1:20pm

10 calon UPSR, paling ramai dalam sejarah SK Puteri Ledang

TANGKAK: Hanya 10 murid Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri Ledang di sini mula menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hari ini, namun ia adalah jumlah calon UPSR paling ramai dalam sejarah sekolah itu yang dibuka pada 1951.

Guru Besar SK Puteri Ledang, Mastura Ismail, berkata sekolah terbabit yang kini mempunyai 87 murid dan 12 guru, pernah menyaksikan hanya tiga calon menduduki peperiksaan berkenaan.

“Sebagai sekolah berstatus kurang murid, ini kali pertama dalam sejarah sekolah apabila 10 calon menduduki UPSR. Ini jumlah calon UPSR paling ramai setakat ini,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Mastura bersama guru-guru meluangkan masa kira-kira 10 minit bersama calon UPSR sekolah itu untuk berdoa dan memberi kata-kata perangsang kepada mereka sebelum memasuki dewan peperiksaan untuk menduduki Kertas Bahasa Melayu 1.

Katanya, jumlah calon UPSR SK Puteri Ledang dijangka kembali turun pada 2020 apabila data sedia ada menunjukkan hanya tujuh murid bakal mengambil peperiksaan itu tahun depan.

“Jika tiada pendaftaran murid baharu untuk Tahun Enam pada tahun hadapan, jumlah calon UPSR kami pada 2020 hanya tujuh orang.

“Bagaimanapun, data sedia ada menunjukkan jumlah calon UPSR di sekolah ini dijangka kembali meningkat kepada 16 orang pada 2021, 14 pada 2022 dan 12 calon pada 2023,” katanya.

Beliau berkata, walaupun berstatus sekolah kurang murid, ia tidak menghalang pihaknya berusaha sebaik mungkin dan mencapai kelulusan 100 peratus pada peperiksaan itu.

Katanya, ia dibuktikan dengan rekod baik sekolah berkenaan dalam UPSR, manakala beberapa lepasan sekolah itu juga sudah mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

Guru besar SK Puteri Ledang, Mastura Ismail (tengah) bersama guru dan 10 calon UPSR bersama-sama membaca doa sebelum memasuki bilik peperiksaan di SK Puteri Ledang, Tangkak. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria
Berita Harian X