Rabu, 4 September 2019 | 11:41am
MENTERI Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal melawat calon UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Temenggong Abdul Rahman 1 (STAR1), Johor Bahru, hari ini. - Foto Zain Ahmed
MENTERI Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal melawat calon UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Temenggong Abdul Rahman 1 (STAR1), Johor Bahru, hari ini. - Foto Zain Ahmed

Sudah siap siaga sepanjang tempoh UPSR - MB

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor bersiap siaga berdepan sebarang perkara tidak diingini sepanjang tempoh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019 berlangsung, terutama membabitkan isu pencemaran di Pasir Gudang.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata kesemua sekolah di Pasir Gudang dan agensi terbabit sudah bersedia jika kejadian sama berlaku ketika musim peperiksaan.

Setakat ini, beliau berkata, pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati bacaan kualiti udara di Pasir Gudang masih normal.

“Alhamdulillah, kualiti udara hingga hari ini normal. Bagaimanapun, saya hendak mengingatkan semua supaya jangan stres. Kadang-kadang, apabila stres boleh menyebabkan kita mudah panik.

“Kita (kerajaan negeri) bersiap sedia jika berlaku sebarang perkara tidak diingini. Semua dewan (di Pasir Gudang) juga bersiap sedia (untuk dibuka) jika berlaku apa-apa (sekolah terjejas),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat calon UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Temenggong Abdul Rahman 1 (STAR1), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan negeri, Azman Adnan.

Sementara itu, Azman berkata, beberapa langkah diambil bagi mengelakkan masalah gangguan kesihatan, terutama di 12 sekolah berisiko di Pasir Gudang, termasuk menangguhkan sesi pembelajaran murid yang tidak menduduki UPSR.

“Jabatan Pendidikan Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah sentiasa memantau keadaan sekolah di Pasir Gudang, selain menyediakan beberapa langkah persediaan berdepan kejadian gangguan kesihatan,” katanya.

Azman berkata, seramai 54,799 calon menduduki UPSR di 950 pusat peperiksaan di negeri ini.

Daripada jumlah itu, 35,542 adalah calon SK, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (16,325), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (1,953) dan sekolah swasta (979).

Berita Harian X