Selasa, 3 September 2019 | 3:34pm
ROZIAH Taib bersama pekerjanya mengangkut air dari tong tadahan air di premis perniagaan mi udangnya di Kampung Pulau Sayak berikutan masalah gangguan bekalan air di kawasan itu sejak tiga bulan lalu. - Foto Nor Farhani Che Ad
ROZIAH Taib bersama pekerjanya mengangkut air dari tong tadahan air di premis perniagaan mi udangnya di Kampung Pulau Sayak berikutan masalah gangguan bekalan air di kawasan itu sejak tiga bulan lalu. - Foto Nor Farhani Che Ad

Isu bekalan air belenggu lebih 100 keluarga

SUNGAI PETANI: Lebih 100 keluarga di Kampung Pulau Sayak di sini, berdepan masalah bekalan air bersih sejak tiga bulan lalu hingga menjejaskan rutin harian penduduk dan premis perniagaan.

Peniaga, Roziah Taib, 50, berkata masalah yang berlarutan itu menimbulkan pelbagai kerumitan dalam urusan harian dan perniagaannya yang mengusahakan kedai mi udang.

Setiap kali menghadapi masalah bekalan air, beliau terpaksa menutup kedai lebih awal kerana sukar memasak dan membersih.

“Sebelum ini, paip di kedai masih keluar air antara jam 3 pagi hingga 5 pagi walaupun perlahan, namun sempatlah saya menadah air untuk kegunaan perniagaan.

“Sejak awal bulan lalu, langsung tiada air dan saya terpaksa mengambil bekalan daripada tong yang disediakan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) atau menunggu lori tangki.

“Keadaan ini menyukarkan saya berniaga manakala pelanggan tidak dapat menggunakan tandas dan solat di surau kedai,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Abdul Rashid Nasir, 54, berkata keluarganya terpaksa menadah hujan bagi kegunaan mencuci pakaian dan pinggan mangkuk berikutan tong disediakan SADA jauh dari rumah mereka.

“Hanya dua tong air disediakan pihak SADA untuk kegunaan penduduk kampung yang ramai.

“Lori tangki SADA pula menghantar air jika ada permintaan daripada penduduk, itu pun mengambil masa lama untuk tiba ke kampung kami,” katanya.

Abdul Rashid mendakwa beberapa aduan sudah dibuat kepada SADA, namun masalah itu belum dapat diselesaikan.

“Saya difahamkan berlaku masalah tekanan air di kawasan kampung ini, namun sampai bila penduduk perlu berdepan dengan kesulitan ini dan kami harap ia dapat diatasi segera,” katanya.

Berita Harian X