Selasa, 3 September 2019 | 2:50pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar (kiri) membuang air bertakung di rumah penduduk, ketika Operasi penguatkuasaan Premis Individu (OPPI) Negeri Johor di Taman Damai Jaya, Skudai. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar (kiri) membuang air bertakung di rumah penduduk, ketika Operasi penguatkuasaan Premis Individu (OPPI) Negeri Johor di Taman Damai Jaya, Skudai. - Foto Mohd Azren Jamaludin

UPSR: Pegawai perubatan tambahan ditempatkan di Pasir Gudang

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan negeri menempatkan pegawai perubatan tambahan di Pasir Gudang berikutan 2,175 murid di kawasan itu akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata ia akan dilakukan di dua Klinik Kesihatan sebagai persediaan menghadapi sebarang kecemasan berhubung kesihatan calon UPSR di kawasan berkenaan.

“Pegawai perubatan tambahan akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di Klinik Kesihatan Pasir Gudang serta Klinik Kesihatan Masai, esok, sebagai langkah proaktif jika berlaku kecemasan membabitkan calon UPSR.

“Bagaimanapun, tiada pegawai perubatan atau pasukan kecemasan akan ditempatkan di sekolah kerana kehadiran mereka dikhuatiri mendatangkan tekanan emosi kepada calon UPSR. Namun, persediaan secukupnya sudah diambil.

“Semua peperiksaan UPSR di Pasir Gudang juga diarah supaya dijalankan di tingkat bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan skuad Program Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) bagi Operasi Penguatkuasaan Premis Individu (OPPI) di Taman Damai Jaya, Skudai, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Johor (Kesihatan Awam), Dr Shaharom Nor Azian Che Mat Din.

Media sebelum ini melaporkan seramai 11,256 murid Tahun Satu hingga Tahun Lima di 12 sekolah sekitar Pasir Gudang akan dicutikan sepanjang UPSR berlangsung.

Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Jasni Omar, dipetik sebagai berkata, ia sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan tiada berlaku insiden tidak diingini, termasuk gangguan kesihatan yang boleh menjejaskan tumpuan calon UPSR menghadapi peperiksaan.

Rabu lalu, 33 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, dilaporkan dihantar ke klinik berdekatan kerana mengalami gejala muntah akibat terhidu bau busuk yang tidak dikenal pasti puncanya.

Berita Harian X