Isnin, 2 September 2019 | 1:48pm
PRESIDEN FeRTAS, Walter Kandayon (empat dari kanan) mengadakan perjumpaan dengan semua presiden persatuan pelancongan luar bandar dan ahli jawatankuasa gabungan itu di Malangkap, 27 Ogos lalu. - Foto ihsan FeRTAS
PRESIDEN FeRTAS, Walter Kandayon (empat dari kanan) mengadakan perjumpaan dengan semua presiden persatuan pelancongan luar bandar dan ahli jawatankuasa gabungan itu di Malangkap, 27 Ogos lalu. - Foto ihsan FeRTAS

FeRTAS bantu perkasakan industri pelancongan luar bandar

KOTA KINABALU: Persekutuan Persatuan Pelancongan Luar Bandar Sabah (FeRTAS) yakin penubuhan gabungan itu dapat memperkasakan lagi industri pelancongan luar bandar di negeri ini.

Presiden FeRTAS, Walter Kandayon, berkata usaha itu akan membantu industri pelancongan luar bandar lebih dikenali pada peringkat antarabangsa, sekali gus meningkatkan pendapatan pengusaha terbabit.

Beliau berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sudah meluluskan penubuhan gabungan itu, Julai lalu, dengan membabitkan pengusaha atau persatuan pelancongan daripada kira-kira 26 daerah seluruh Sabah.

“Antara visi FeRTAS ialah memperkasa dan memampankan pelancongan luar bandar Sabah, manakala misi pula membantu pihak berkepentingan membangunkan industri pelancongan luar bandar.

“Objektif kita ialah berusaha ke arah pengupayaan dan pemerkasaan pengusaha pelancongan berasaskan komuniti serta pengusaha pelancongan luar bandar.

“Selain itu, membantu penerokaan dan memperkenalkan kehebatan khazanah pelancongan luar bandar ke peringkat antarabangsa, meningkatkan kesedaran pelancongan luar bandar dan mengekalkan warisan serta budaya,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Mengulas lanjut, Walter yang juga Presiden Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) berkata, FeRTAS mengadakan perjumpaan dengan semua presiden persatuan pelancongan luar bandar dan ahli jawatankuasa gabungan itu di Malangkap, 27 Ogos lalu.

“Pelbagai perkara dibincangkan, termasuk langkah mencapai visi dan misi serta usaha mencari produk utama di setiap daerah (kawasan pelancongan luar bandar) di negeri ini.

“Kita akan memastikan ada produk utama di setiap daerah dan tidak sama dengan kawasan pelancongan lain di Sabah.

“Ketika ini, memang masing-masing (pengusaha pelancongan) ada produk utama. Namun jika boleh, kita tidak mahu ada persamaan dan mungkin ada produk utama lain yang boleh diketengahkan lagi.

“Kita juga merancang untuk mengadakan satu acara mempromosikan produk pelancongan di daerah terbabit, khususnya kawasan gabungan FeRTAS, tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan gabungan itu secara langsung akan mewujud dan mengeratkan lagi kerjasama antara pengusaha untuk meningkatkan promosi pelancongan luar bandar.

Berita Harian X