Sabtu, 31 Ogos 2019 | 4:19pm
Abang Johari (tengah) hadir pada majlis sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak di Sarikei. - NSTP/Khalid Latip
Abang Johari (tengah) hadir pada majlis sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak di Sarikei. - NSTP/Khalid Latip

Perkasa potensi Sarikei sebagai pengeluar utama makanan

SARIKEI : Potensi besar Sarikei sebagai pengeluar makanan wilayah tengah Sarawak akan terus diperkasakan selaras dengan matlamat untuk meningkatkan taraf dan sosial ekonomi rakyat khususnya di kawasan pedalaman.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata langkah proaktif itu bakal memberi manfaat besar kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang.

Menerusi pendekatan itu katanya, kerajaan bukan sahaja membangunkan sektor pertanian tetapi juga infrastruktur asas yang amat diperlukan oleh rakyat terutama di kawasan pesisir Sarawak.

“Kita mahu bahagian Sarikei hingga Betong menjadi pengeluar makanan bukan hanya untuk Malaysia tetapi juga dieksport ke luar negara.

“Bagaimanapun bagi mencapai hasrat itu, kita harus membangun prasarana penting seperti jalan raya yang menjadi penghubung kepada rakyat selain memudahkan mereka untuk mengeluarkan hasil pertanian,” katanya pada majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.

Beliau memberi jaminan kerajaan akan terus komited menaik taraf sistem perhubungan sebagai rangkaian logistik yang mampu membantu merancakkan lagi pembangunan terutama di kawasan pesisir.

Katanya, antara prasarana yang sedang dalam pembinaan termasuklah Jambatan Muara Lassa, Jambatan Paloh dan Jalan Pasi yang menghubungkan Sarikei dengan Tanjung Manis.

“Pada masa yang sama, kita tidak lupa untuk membekal dan menaik taraf kemudahan lain seperti bekalan air dan elektrik.

“Tidak dapat dinafikan, Sarawak meraih pelbagai kejayaan sejak 65 tahun lalu dan kita akan terus mengorak langkah bagi mencapai hasrat sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030.

“Sehubungan itu, saya menggesa rakyat terus bersatu dan memberikan sokongan penuh supaya perjuangan kita dapat diteruskan,” katanya.

Berita Harian X