Sabtu, 31 Ogos 2019 | 3:28pm
Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh menyerahkan Jalur Gemilang kepada pemilik kenderaan pada Majlis Semarak Merdeka sekitar Parlimen Ledang di Tangkak. - Ihsan Pejabat Ahli Parlimen Ledang

Edar 1,000 Jalur Gemilang

TANGKAK: Pejabat Ahli Parlimen Ledang dengan kerjasama PETRONAS hari ini mengedarkan 1,000 Jalur Gemilang kepada masyarakat di seluruh kawasan Parlimen.

Program yang turut mendapat kerjasama Kelab Lion, Majlis Belia Tangkak, Persatuan Wanita Sejiwa dan Komuniti Harapan Malaysia diadakan di Stesen Minyak Petronas Bukit Kangkar, Bukit Gambir dan Tangkak.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata pengedaran Jalur Gemilang sebagai simbolik kepada tarikh kemerdekaan negara dalam mengajak rakyat untuk bersama-sama meraikannya dengan penuh kebanggaan.

“Kita mahu mengajak rakyat terutama di Parlimen Ledang untuk menunjukkan semangat patriotisme mereka kerana Malaysia adalah negara kita bersama.

“Nasib kita adalah di tangan kita. Jadi, kita perlu bersama-sama membina negara dan bukan hanya menyerahkan tugas itu kepada pemimpin atau kerajaan semata-mata kerana ia adalah tanggungjawab bersama, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui BH pada Majlis Semarak Merdeka di Stesen Minyak Petronas Bukit Kangkar di sini, hari ini.

Pada program itu, beliau bersama kira-kira 100 peserta Semarak Merdeka turut mengedarkan Jalur Gemilang kepada pemandu kenderaan yang mengisi minyak di stesen minyak itu.

Beliau berharap Jalur Gemilang akan terus dikibarkan dan menjadi pencetus kepada semangat cintakan negara.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai status terkini jawatan Pengerusi PKR Johor yang dilepaskan oleh penyandangnya baru-baru ini, Syed Ibrahim yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata, belum ada pengganti bagi jawatan itu.

“Belum ada (pengerusi baharu). Pelantikan pengerusi (PKR) negeri dibuat oleh presiden parti (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Jadi kita tunggu keputusan beliau.

“Saya rasa presiden sudah terima peletakan jawatan Hassan Karim tetapi dari segi pemilihan baharu (Pengerusi PKR Johor), kita serah kepada presiden parti.

“Mungkin beliau (Anwar) akan turun ke Johor untuk membuat perbincangan dengan ketua cabang parti (di Johor) untuk menentukan siapa pengerusi yang baharu kelak,” katanya.

Berita Harian X