ALOR SETAR: Lebih 10,000 pengunjung berbilang kaum membanjiri Dataran Medan Bandar sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62, di sini, pagi tadi.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff turut berangkat menghadiri sambutan yang bermula pada jam 9.30 pagi.
Turut berkenan hadir, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan isteri, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah; Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Tunku Laksamana Kedah Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim.
Selepas nyanyian lagu Allah Selamat Sultan dan Negaraku, Sultan Sallehuddin memeriksa kawalan kehormatan Batalion Keenam, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Jitra.
Pelbagai aktiviti berlangsung antaranya nyanyian koir, persembahan tarian dan perbarisan kontinjen melintasi pentas utama yang mendapat sorakan serta tepukan gemuruh daripada pengunjung.
Kira-kira 5,000 peserta merangkumi 108 kontinjen berarak sepanjang laluan utama antaranya Pancaragam Kolej Tentera Udara Kepala Batas selain kontinjen yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan sekolah di negeri ini.