Jumaat, 30 Ogos 2019 | 7:49pm
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. NSTP/Adzlan Sidek

Kerajaan negeri, MPN bincang isu dominasi peniaga warga asing

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) untuk menangani isu warga asing mendominasi kawasan perniagaan, khususnya di Nilai 2 dan Nilai 3.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pihaknya sudah merangka beberapa cadangan untuk diteliti agensi kerajaan lain dalam usaha mengembalikan peniaga tempatan ke kawasan itu.

“Antara yang kita sedang pertimbangkan ialah memperkenalkan pasar tani di Nilai untuk menghimpunkan peniaga tempatan mempromosikan produk masing-masing.

“Jika ia dapat dibuat dengan baik dan teratur, Nilai pasti akan kembali menjadi lokasi tumpuan pengunjung luar seperti sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Industri Asas Tani (IAT), di sini, hari ini.

BH hari ini melaporkan hasrat kerajaan sejak 2001 untuk menjadikan Nilai lokasi perniagaan terutama borong, sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan tempatan, tidak berjaya apabila kawasan itu dikuasai peniaga warga asing.

Malah, menjejak kaki di bandar itu terutama di Nilai 2 dan Nilai 3 umpama masuk ke wilayah luar kerana jumlah peniaga asing yang ramai menguasai lot kedai di situ.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, sambutan pengunjung semakin berkurangan di Nilai turut menjadi faktor peniaga tempatan ‘gulung tikar’ dan mencari lokasi lain untuk berniaga.

“Tiada orang tempatan hendak berniaga (di situ) sebab kurang sambutan. Ini juga menyebabkan pendapatan menurun dan peniaga tidak mampu membayar sewa.

“Bagaimanapun, kita sedang berusaha menarik peniaga tempatan berniaga di situ dan mengembalikan semula status Nilai sebagai lokasi perniagaan terkemuka,” katanya.

Berita Harian X