Jumaat, 30 Ogos 2019 | 6:28pm
PENGASAS My Mum's Bakery, Anne Idris dinobatkan sebagai Usahawan Muda pada majlis Anugerah Ikon Usahawan Wanita 2019, Konvensyen Wanita 2019 sempena Minggu Usahawan Wanita 2019, di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di Serdang, hari ini. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Anne dinobat Ikon Usahawan Muda

SERDANG: Pernah mengalami kerugian dan diisytiharkan bankrap tidak mematahkan semangat pengusaha bakeri untuk terus menggapai kejayaan dalam perniagaan itu sehingga dinobatkan sebagai Usahawan Muda.

Berkat semangat gigihnya yang tidak pernah berputus asa, Pengasas My Mum's Bakery, Anne Idris, 35, dinobatkan sebagai Ikon Usahawan Muda pada majlis Anugerah Ikon Usahawan Wanita 2019, Konvensyen Wanita 2019 sempena Minggu Usahawan Wanita 2019, di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Bermula daripada kedai menjual kek pada 2016, perniagaan saya jatuh dan terpaksa berpindah ke rumah sehingga ke pasar tani sekitar Shah Alam.

"Rezeki saya mencurah apabila suatu hari kek saya ditempah oleh pemilik jenama tudung terkenal tempatan pada harga RM15,900.

“Sejak itu, saya mula menerima tempahan kek sehingga mencegah puluhan ribu ringgit untuk VIP dan digelar pembuat kek termahal," katanya yang menerima piala dan sijil.

Anugerah itu diumumkan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Junaidah Kamaruddin.

Empat lagi usahawan wanita turut menerima anugerah pada majlis berkenaan, Pengasas Giggle Garage, Junaidah Joemin (Ikon Usahawan Digital); Pengasas Bersama Niqa Hijab Wash, Fazliatul Akmar Zainuddin (Ikon Usahawan Mikro); Pengasas Bersama Adeqsue, Shukuriah Abd Ghafar (Ikon Usahawan Halal) dan Pengasas Clara International, Prof Datin Dr Clara L Chee (Ikon Usahawan Berprestasi Tinggi).

Sementara itu, Mohd Redzuan, berkata anugerah itu diwujudkan sebagai pengiktirafan kepada usahawan wanita cemerlang sebagai motivasi untuk golongan berkenaan berdepan cabaran pasaran domestik dan global.

Berita Harian X