Jumaat, 30 Ogos 2019 | 5:36pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon (tiga dari kanan) melihat pelan lokasi loji kumbahan yang berdekatan dengan kawasan sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. - Foto ihsan pejabat EXCO
PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon (tiga dari kanan) melihat pelan lokasi loji kumbahan yang berdekatan dengan kawasan sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. - Foto ihsan pejabat EXCO

Tiada lagi aduan bau busuk

PASIR GUDANG: Loji rawatan kumbahan (LRK) di Taman Pasir Putih, di sini, yang dipercayai menjadi punca 34 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih mengalami simptom muntah dan mual, kelmarin, didapati tidak lagi mengeluarkan bau busuk.

Ketua Kampung Pasir Putih, Suhaimi Ahmad Shah, berkata pemerhatian pihaknya mendapati tiada aduan mengenai bau busuk diterima daripada penduduk kawasan itu, termasuk sekolah berkenaan, sejak semalam.

“Kelmarin, saya memang menerima aduan penduduk mengenai bau agak kuat di kawasan itu. Sebenarnya, kita sendiri tidak tahu punca dan dari mana bau busuk itu kerana baunya bercampur-campur.

“Mungkin disebabkan lokasi sekolah berhampiran sungai dan kebetulan ada loji kumbahan berhampiran kawasan itu, ditambah pula hujan, justeru bau menjadi terlalu busuk sehingga menyebabkan gangguan terhadap murid.

“Bagaimanapun, keadaan bertambah baik sejak semalam dan tiada lagi bau busuk, terutama dari kawasan LRK terbabit,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin, seramai 34 murid SK Taman Pasir Putih dihantar ke klinik berdekatan kerana mengalami gejala mual dan muntah akibat terhidu bau busuk.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon, dilaporkan berkata, insiden itu dipercayai berpunca daripada LRK berhampiran dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) diarahkan membuat penyelenggaraan segera.

Mengulas lanjut, Suhaimi meminta pihak berkuasa, terutama MPPG supaya membuat persediaan rapi berkaitan perkara itu menjelang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Rabu depan.

“Kita meminta mereka membuat pemeriksaan kualiti udara di sekolah yang kerap terjejas dengan pencemaran bau, setiap pagi, sebelum peperiksaan bermula bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Hingga kini, kita berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa dan kerajaan negeri yang memberi kerjasama baik kepada penduduk berhubung isu pencemaran bau,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Jasni Omar, berkata kira-kira 11,300 murid Tahun Satu hingga Lima dari 12 sekolah yang terletak dalam radius lima kilometer dari Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, diberi cuti sepanjang UPSR berlangsung.

Sekolah terbabit ialah SK Taman Pasir Putih, SK Kopok, SK Tanjung Puteri Resort, SK Taman Scientex, SK Kota Masai, SK Pasir Gudang 4, SK Taman Bukit Dahlia, SK Taman Megah Ria, SK Taman Rinting 3, SK Pasir Gudang 1, SK Pasir Gudang 3 dan SK Kota Masai 3.

Berita Harian X