Jumaat, 30 Ogos 2019 | 3:31pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datuk Sri Huang Tiong Sii melihat Jalur Gemilang manik yang dihasilkan pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sarikei. - Foto Khalid Latip
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datuk Sri Huang Tiong Sii melihat Jalur Gemilang manik yang dihasilkan pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sarikei. - Foto Khalid Latip

Jalur Gemilang guna manik diiktiraf MBOR

SARIKEI: Jalur Gemilang bersaiz 3.79 meter panjang dan 1.57 meter lebar daripada 185,024 biji manik dihasilkan pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sarikei menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR).

Kejayaan mereka sekali gus memadamkan rekod lama dihasilkan Majlis Perbandaran Miri pada Mei 2010 dengan Jalur Gemilang bersaiz tiga meter panjang dan 1.2 meter lebar.

Penolong Kanan Pentadbiran SMK Bandar Sarikei, Latip Mat, berkata Jalur Gemilang itu disiapkan dalam tempoh empat bulan dengan menggunakan empat warna manik iaitu merah, putih, kuning dan biru.

“Perkara ini membanggakan semua warga sekolah. Kreativiti dan kesungguhan pelajar pendidikan khas ini wajar dipuji,” katanya ketika ditemui hari ini.

Majlis penyampaian anugerah itu berlangsung di Stadium Sri Repok SMK Bandar Sarikei dan disempurnakan oleh Pengurus Pejabat MBOR, Lee Pooi Leng bersama Pegawai Analisis MBOR, Nurul Fatihah Mahmood.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datuk Sri Huang Tiong Sii, berkata kejayaan itu dianggap sebagai pencapaian luar biasa dan membanggakan seluruh warga Sarawak.

“Tahniah untuk seluruh warga SMK Bandar Sarikei,” katanya.

Dalam pada itu, Huang berkata, sebanyak RM1,246,800 disalurkan sebagai peruntukan untuk membaik pulih dan membina kemudahan bagi memastikan keselesaan pelajar dan guru di SMK Bandar Sarikei.

“Peruntukan ini digunakan untuk melaksanakan pelbagai projek di kawasan sekolah sejak 2016,” katanya.

Berita Harian X