Ahad, 25 Ogos 2019 | 5:14pm
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai merasmikan larian 3 kilometer pada Hari Sarapan Malaysia Milo di Stadium Sarawak. - NSTP/L Manimaran
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai merasmikan larian 3 kilometer pada Hari Sarapan Malaysia Milo di Stadium Sarawak. - NSTP/L Manimaran

Hari Sarapan Malaysia Milo rekod 100,000 peserta

KUCHING: Program sarapan terbesar negara, Hari Sarapan Malaysia Milo menutup tirai di bandar raya ini dengan kehadiran kira-kira 10,000 peserta di Stadium Sarawak, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols, berkata, selepas lima lokasi dengan Kuching sebagai lokasi terakhir, pihaknya merekodkan jumlah penyertaan seramai 100,000 orang.

“Penganjuran tahun ketujuh sangat membanggakan dan ini membuktikan usaha berterusan kami untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan bersarapan dengan sihat dan berkhasiat mendapat perhatian.

“Justeru saya berpendapat, aktiviti sebegini penting kepada kita dan rakyat sudah menunjukkan semangat mereka untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan makanan seimbang,” katanya ketika ditemui.

Sebahagian orang ramai yang mengambil bahagian dalam acara larian 3 kilometer. - NSTP/L Manimaran
Sebahagian orang ramai yang mengambil bahagian dalam acara larian 3 kilometer. - NSTP/L Manimaran

Kakitangan menyediakan minuman kepada peserta Hari Sarapan Malaysia MILO di Stadium Sarawak. - NSTP/L Manimaran
Kakitangan menyediakan minuman kepada peserta Hari Sarapan Malaysia MILO di Stadium Sarawak. - NSTP/L Manimaran

Selain bersarapan, aktiviti larian sepanjang tiga kilometer antara yang mendapat sambutan termasuk zumba dan aktiviti lain untuk keluarga serta berunsurkan pendidikan.

Milo turut menampilkan kelainan dengan menyediakan aktiviti untuk meningkatkan kesedaran kitar semula dalam kalangan masyarakat.

Bagi meneruskan usaha memupuk amalan sihat dalam kalangan pengguna, Milo turut bekerjasama dengan Persatuan Dietitian Malaysia (MDA) pada kempen Hari Sarapan Malaysia Milo yang menawarkan pemeriksaan Indeks Jisim Tubuh (BMI) dan sesi Ask A Dietitian menyediakan khidmat perundingan mengenai diet serta penyakit berkaitan kepada peserta.

Pada masa sama, Milo turut meneruskan kerjasama dengan Food Aid Foundation dan sebahagian dana yang dikumpul daripada larian Hari Sarapan Malaysia Milo akan dimanfaatkan untuk membantu misi Food Aid Foundation menyediakan pilihan sarapan yang sihat kepada keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara.

Lima lokasi yang disinggahi Milo sebelum ini ialah Putrajaya; Pulau Pinang; Batu Pahat Johor; Kuantan, Pahang dan Kota Kinabalu, Sabah.

Berita Harian X