Ahad, 25 Ogos 2019 | 9:51am
ANTARA peserta yang menyertai Kayuhan Amal dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Kota Bharu, semalam. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Kayuhan amal julang semangat merdeka

KOTA BHARU: Bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-62, seramai 1,220 peserta menyertai Kayuhan Amal dan Kempen Kibar Jalur Gemilang, di sini, semalam.

Program anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota itu mendapat kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Alumni SMK Kota ‘Kota Care’, dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Program membabitkan kayuhan sejauh 38.6 kilometer (km) bermula dari perkarangan SMK Kota, melalui Jalan Salor Lama, Jambatan Pasir Mas Salor, SMK Mulong dan kembali semula ke sekolah berkenaan.

Pelepasan peserta dilakukan oleh Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa.

Pengetua sekolah, Shamsul Bahari Jaafar, berkata sebelum ini, program sambutan kemerdekaan yang diadakan hanya di peringkat sekolah membabitkan guru dan pelajar, namun kali ini pihaknya mengajak komuniti setempat dan beberapa kelab basikal untuk bersama-sama menyemarakkan lagi Bulan Kemerdekaan yang akan disambut tidak lama lagi.

“Peserta kayuhan ini bukan sahaja dari Kelantan, malah ada juga dari luar termasuk Thailand.

“Objektif utama program kayuhan ini untuk membangkitkan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat setempat kerana melalui aktiviti berbasikal, ia mampu menyatupadukan semua kaum dan agama.

“Ia juga dapat mengeratkan hubungan masyarakat serta mewujudkan semangat kesukanan dalam kalangan anak muda, selain melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas,” katanya.

Shamsul Bahari berkata, program kayuhan turut dimeriahkan lagi dengan hadiah utama iaitu sebuah motosikal yang ditaja oleh Kota Care serta pakej menunaikan umrah oleh Syarikat Pengendali Umrah, Al-Quds Travel Sdn Bhd serta barangan elektronik dari Kemudi Timur.

Sementara itu, Pengerusi Kota Care, Wan Nor Anas Wan Yusoff, berkata selain memeriahkan lagi bulan kemerdekaan, penganjuran acara berbasikal itu diharap dapat menyuntik kembali semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat yang dilihat semakin berkurangan.

“Tidak ramai masyarakat meraikan bulan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

“Kami harap kayuhan ini secara tidak langsung menyuntik kembali semangat mereka dalam meluahkan semangat cintakan negara dan memahami erti kemerdekaan sebenar,” katanya.

Berita Harian X