Sabtu, 24 Ogos 2019 | 2:34pm
EXCO Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan. - STR/Adzlan Sidek
EXCO Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan. - STR/Adzlan Sidek

Air sungai hitam akibat kerja pembersihan parit

SEREMBAN: Kerja pembersihan dan pelebaran parit berhampiran Sungai Lukut Kechil di Port Dickson, dikesan menjadi punca sungai itu hitam sejak minggu lalu.

EXCO Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan menyiasat perkara itu selepas menerima aduan pada 11 Ogos lalu.

Beliau berkata, aduan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa yang melihat air sungai itu bertukar menjadi hitam sekali gus membimbangkan penduduk serta nelayan di kawasan itu.

“Sepasukan kakitangan JAS kemudian ke lokasi pada 12 dan 15 Ogos lalu bagi menjalankan siasatan berkenaan aduan itu.

“Hasil siasatan mendapati punca air bertukar menjadi warna hitam adalah disebabkan kerja pembersihan dan pelebaran parit berhampiran sungai itu.

“Keadaan tanah yang hitam menyebabkan air sungai turut bertukar menjadi warna hitam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Veerapan berkata, sampel air sungai itu diambil dan siasatan mendapati keadaan pH adalah normal.

Bagaimanapun, katanya, JAS akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis serta loji kumbahan di kawasan Port Dickson bagi memastikan efluen yang dilepaskan mematuhi peraturan ditetapkan sekali gus mengelak pencemaran alam sekitar.

Berita Harian X