Sabtu, 24 Ogos 2019 | 2:31pm
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. - NSTP/Ghazali Kori
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. - NSTP/Ghazali Kori

Jambatan Angkat tingkat sektor pelancongan sukan

KUALA TERENGGANU: Bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, Jambatan Angkat yang menjadi mercu tanda baharu Terengganu turut berjaya meningkatkan sektor pelancongan sukan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata ia terbukti apabila penganjuran Program ‘Bank Muamalat 20 Years Nite Ride 2019’ malam tadi, berjaya menarik seramai 2,400 peserta.

Katanya, ini sekali gus menjadi acara berbasikal terbesar pernah dianjurkan bank berkenaan dan kerajaan negeri ini.

Beliau berkata, melihat kepada sambutan luar biasa program anjuran Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dengan kerjasama kerajaan negeri itu, pihaknya berhasrat menjadikan acara itu sebagai program tahunan dalam kalendar pelancongan negeri.

“Kita lihat acara ini bukan sahaja dapat menggalakkan aktiviti sukan dan riadah pada sebelah malam, tetapi juga pada masa sama dapat mempromosikan Jambatan Angkat sebagai mercu tanda baharu di Terengganu.

“Kita harap dapat meneruskan kerjasama dengan Bank Muamalat pada masa depan dan kita juga merancang untuk mengadakan lebih banyak program sukan di jambatan ini,” katanya selepas menyampaikan cenderamata kepada peserta acara itu di Pasar Nita di sini, malam tadi.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melepaskan peserta dan turut menyertai kayuhan sejauh 10 kilometer.

Wan Sukairi berkata, acara Larian Jambatan Sultan Mahmud yang juga menjadi program tahunan kerajaan negeri akan menjadi acara kedua membabitkan jambatan angkat sebagai venue sukan bulan depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, berkata program kayuhan basikal santai itu awalnya menyasarkan 1,500 peserta, namun pihaknya gembira apabila jumlah penyertaan meningkat sehingga 2,400 orang.

Beliau berkata, Terengganu dipilih menjadi venue penganjuran program itu kali ini kerana tertarik dengan keindahan bandar raya ini, terutama pada sebelah malam, selain keunikan Jambatan Angkat yang turut menjadi laluan peserta.

Katanya, program anjuran bersama kerajaan Terengganu itu juga simbolik kejayaan bank berkenaan yang menyambut ulang tahun ke-20 penubuhannya tahun ini.

“Alhamdulillah, kita sangat gembira dengan sambutan luar biasa peserta yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, selain Terengganu sendiri.

“Pada pandangan kita, acara ini menjadi lebih menarik kerana turut menjadikan Jambatan Angkat sebagai lokasi program yang menambah daya tarikan.

“Melihat kepada sambutan hebat ini, kita harap dapat menjadikan acara ini sebagai program tahunan di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memperuntukkan sejumlah RM100,000 untuk penganjuran acara itu yang menyediakan dua kategori iaitu kayuhan 10 kilometer dan 35 kilometer yang menyediakan hadiah cabutan bertuah seperti motosikal dan televisyen.

Berita Harian X