Khamis, 22 Ogos 2019 | 6:09pm
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. NSTP/Mikail Ong
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. NSTP/Mikail Ong

Pulau Pinang pilih juru perunding buat kajian impak KXP bulan depan

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan memilih juru perunding bagi melaksanakan kajian terhadap impak projek pembinaan Lapangan Terbang Kulim (KXP) di Kedah, bulan depan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kajian kebolehlaksanaan untuk melihat keseluruhan impak KXP kepada Pulau Pinang itu dijangka mengambil masa sehingga setahun, bergantung kepada keadaan semasa.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, kerajaan negeri akan meneruskan hasrat untuk melaksanakan kajian ini dengan melantik juru perunding pada September ini.

“Kajian itu akan melihat keseluruhan impak termasuk kesan jangka panjang kepada ekonomi negeri jika projek KXP yang terletak kurang 50 kilometer dari Pulau Pinang itu dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Perkhidmatan Perniagaan Global Pulau Pinang Kelima di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, ketika ini kerajaan negeri belum menerima maklum balas daripada pihak berkaitan termasuk Kementerian Pengangkutan berhubung cadangan pertemuan bersama kerajaan Kedah.

Malah, katanya, cadangan pembinaan KXP juga tidak dibentangkan atau dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN), Isnin lalu.

“Kenyataan yang mengatakan KXP akan dibina sebagai lapangan terbang kargo hanya dikatakan kepada media, sedangkan kerajaan negeri tidak dimaklumkan apa-apa.

“Pada mesyuarat MPFN tempoh hari (Isnin lalu) tiada pembentangan kertas berkaitan KXP, namun saya beranggapan ia mungkin dalam persiapan awal (untuk dibentangkan),” katanya.

Ditanya pendirian kerajaan Pulau Pinang terhadap cadangan pembinaan KXP, Kon Yeow berkata pihaknya hanya mahu menumpukan perhatian terhadap projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

“Saya hanya mahu memberi fokus terhadap projek pembesaran LTAPP kerana ia lebih penting dan saya harap projek pembesaran itu dapat diluluskan serta dilaksanakan segera,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilaporkan berkata Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kini sedang meneliti dan mempertimbangkan beberapa cadangan untuk membangunkan KXP sebagai lapangan terbang kargo.

Mac lalu, Mohamed Azmin mengumumkan kerajaan meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Bagaimanapun, pengumuman itu mendapat reaksi berbeza daripada kerajaan Pulau Pinang yang berpendapat pembinaan KXP akan memberi impak negatif kepada LTAPP dan negeri, secara amnya.

Berita Harian X