Khamis, 22 Ogos 2019 | 3:55pm

MDKL tegas heret syarikat, individu ke mahkamah

BANTING: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) tegas menguatkuasa undang-undang dan peraturan di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) apabila mengheret beberapa syarikat dan individu ke Mahkamah Majistret Teluk Datok pada 15 Ogos lalu kerana melakukan pelbagai kesalahan, termasuk membabitkan alam sekitar.

Dalam kes pertama dan kedua, pesalah iaitu Ahmad Amirul Azlan dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Majistret sebanyak RM1,500 atau lima hari penjara, manakala Woo Hin Choi yang mewakili Syarikat Pengangkutan WHC Sdn Bhd juga dikenakan hukuman sama.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Zain A Hamid berkata, kedua-dua individu ini didapati bersalah mengikut Undang-Undang Kecil 4, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah-Sarap (MDKL) 2007 kerana melakukan kesalahan dengan membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan atau di tempat awam oleh pihak MDKL.

“Kedua-dua mereka sudah menjelaskan bayaran denda yang dikenakan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohamad Zain berkata, pengarah syarikat Chang Ang (M) Sdn Bhd, Lee Kok Tiong yang diwakili peguam turut didenda serta diberikan amaran keras oleh mahkamah kerana turut melakukan kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil 4, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah-Sarap (MDKL) 2007.

Beliau berkata, dalam kes berasingan, Muhammad Haizul Izzat Ahmad Azmi didapati bersalah oleh mahkamah dan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM1,000 atas kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil 7, Undang-Undang Kecil Iklan (MDKL) 2007 kerana mempamerkan iklan tanpa lesen.

Sementara itu, katanya, tindakan penunggang motosikal, Ang Keng Yao meletakkan motosikalnya di laluan pejalan kaki hingga menyebabkan halangan awam turut membawa padah apabila dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,200 atau lima hari penjara oleh mahkamah.

“Sementara itu, satu waran tangkap bertarikh 11 September 2019 juga sudah dikeluarkan terhadap Noor Laila Narawa oleh mahkamah kerana tidak menghadirkan diri ketika kes disebut di mahkamah (pada 15 Ogos lalu).

“Kedua-dua kesalahan ini membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 46 (1) (d) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya.

Mohamad Zain berkata, walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan oleh pihaknya dalam mendidik masyarakat supaya memelihara alam sekitar serta mematuhi peraturan yang ditetapkan, namun masih ada yang ingkar seterusnya mengundang padah terhadap diri mereka.

Beliau juga mengingatkan kepada semua pihak agar sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar serta mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Berita Harian X