Khamis, 22 Ogos 2019 | 8:41am
Guru dan kakitangan wanita SK Balok memakai tudung corak Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Guru wanita pakai tudung Jalur Gemilang

KUANTAN: Seramai 93 guru dan kakitangan wanita Sekolah Kebangsaan (SK) Balok, dekat sini, memilih untuk mengenakan tudung bercorak Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan.

Mereka memakai tudung berkenaan pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat, sebagai simbolik kepada sambutan Hari Kemerdekaan negara hujung bulan ini.

Guru besar sekolah itu, Jantan Yasin, berkata persiapan meraikan bulan kemerdekaan dilakukan sejak bulan lalu dengan pembelian tudung corak Jalur Gemilang berharga RM25 sehelai secara atas talian.

Katanya, lebih menarik tahun ini apabila semua guru dan kakitangan wanita sepakat memakai pakaian warna yang terdapat pada Jalur Gemilang seperti merah, biru, kuning dan putih bagi menceriakan lagi penampilan.

“Saya difahamkan setiap guru dan kakitangan wanita membelanjakan lebih RM170 bagi membeli tudung dan sepasang baju, mereka juga melakukannya secara sukarela bagi membuktikan rasa cinta pada negara.

“Untuk menambahkan lagi kemeriahan (sambutan) bulan kemerdekaan, pihak sekolah turut memasang sebanyak 135 Jalur Gemilang di kawasan sekolah, termasuk bangunan,” katanya pada Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat SK Balok, di sini, semalam.

Beliau berkata, sebahagian guru lelaki juga turut tampil memakai tanjak Jalur Gemilang sepanjang berada di dalam kawasan sekolah.

Katanya, tudung dan tanjak Jalur Gemilang dipakai guru bermula awal bulan ini sehingga 15 September depan dan pelbagai aktiviti turut diadakan seperti program bacaan sajak dan bercerita bertemakan kemerdekaan.

Sementara itu, bagi guru mata pelajaran Bahasa Melayu, Hartini Mustafa, 50, berkata aktiviti memakai tudung dan tanjak Jalur Gemilang dilakukan sebagai bukti cinta dan sayangkan kepada negara yang menyambut kemerdekaan ke-62 tahun ini.

“Ia juga diharap menjadi contoh serta bukti kepada murid bahawa kemerdekaan amat berharga dan perlu terus dikekalkan bagi menjamin kehidupan selesa pada masa akan datang,” katanya.

Berita Harian X