Rabu, 21 Ogos 2019 | 10:37am
Mohd Ridzuan (kanan) bersama abangnya, Mohd Zainudin menunjukkan tanjak Jalur gemilang berharga RM80 hingga RM250 bermotifkan kemerdekaan. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Buat tanjak jalur gemilang untuk Hari Kebangsaan

KOTA BHARU: Bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tidak lama lagi, seorang pelukis pelan yang berasal dari Pasir Mas mencipta keunikan dengan menghasilkan tanjak jalur gemilang.

Mohd Ridzuan Hassan, 37, berkata dia tidak mahu ketinggalan dalam menzahirkan kecintaan terhadap negara dengan mencipta rekaan unik itu dan menarik bertemakan Hari Kebangsaan.

Katanya, idea untuk menghasilkan tanjak jalur gemilang tercetus apabila melihat pelbagai rekaan tudung bermotifkan kemerdekaan dijual serta mendapat permintaan yang tinggi terutamanya ketika sambutan Hari Kebangsaan pada setiap tahun.

“Tanjak yang saya hasilkan ini menggunakan kain tudung bawal berbentuk empat segi bermotifkan jalur gemilang yang dibeli daripada pemborong yang kemudiannya di inovasi menjadi tanjak.

“Bagi memastikan pelanggan berpuas hati, saya menjahit sendiri tanjak ini dan dalam sehari mampu menyiapkan satu atau dua tanjak bergantung kepada kelapangan waktu yang ada memandangkan saya juga mempunyai tuntutan kerja sebagai pelukis pelan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Ridzuan berkata, dia mula membuat tanjak pada tahun 2014 untuk dipakai oleh adik beradik lelaki pada hari raya bagi mencari kelainan sehingga ada yang berminat untuk membelinya.

“Pada 2016, saya menuntut ilmu membuat tanjak daripada seorang guru yang pakar dalam pembuatan tanjak dan sehingga kini masih lagi mempelajarinya,” katanya.

Mohd Ridzuan berkata, dia mula menjual tanjaknya di laman sosial Facebook (FB) sejak awal bulan ini dengan bantuan abang, Mohd Zainudin Hassan, 41.

“Saya menjual tanjak serendah RM80 hingga RM250 bergantung kepada jenis material dan kehendak pelanggan.

“Alhamdulillah, sehingga kini saya mendapat sekurang-kurangnya 20 tempahan tanjak jalur gemilang untuk disiapkan sebelum sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini,” katanya.

Berita Harian X